Bersatu dilaporkan telah menggantung keahlian parti Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa 13 Oktober lalu.

Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim, yang mengesahkan perkara itu berkata surat berhubung tindakan berkenaan sudah dikeluarkan sejak minggu lalu.

"Ya betul, surat dikeluarkan minggu lepas lagi, tetapi bukan saya yang tularkan. Menteri Besar juga sudah mengetahui mengenai surat penggantungan itu.

"Buat masa ini, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kepemimpinan Bersatu Pusat dan juga Adun," katanya yang dipetik media di Arau, hari ini.

Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan dan memaklumkan keputusan penggantungan keahlian Abu Bakar yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kangar.

Menurut surat itu, Lembaga Disiplin Bersatu, penggantungan keahlian Abu Bakar dibuat mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu bagi tempoh dua penggal pemilihan parti.

Tindakan itu didakwa diambil berikutan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Susulan keputusan mesyuarat pada 13 Oktober lalu itu, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan dipegang dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.

Bagaimanapun, notis itu menyatakan menteri besar itu masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan untuk membela diri dan mendapatkan pertimbangan lanjut.