'Kerajaan perlu bertindak, bukan sekadar saran pelitup muka'
Perlindungan daripada jerebu perlu melangkaui gesaan supaya rakyat memakai pelitup muka, apalagi jika jenis yang bagus tidak murah, kata bekas ahli parlimen DAP Charles Santiago.
Dia menggesa kerajaan memastikan syarikat perladangan dipertanggungjawabkan atas kebakaran hutan serta menangani nasib golongan yang tidak mampu mengelak daripada berada di luar bangunan.
Menurut Charles, syarikat Malaysia yang mempunyai pelaburan di Kalimantan, antara kawasan utama titik panas di Indonesia, perlu secara sukarela mendedahkan kawasan konsesi serta anak syarikat berkaitan.
“Kerajaan perlu menyemak silang maklumat ini dengan lokasi titik panas dan rekod tanah, menyiasat kaitan dengan kebakaran yang disokong bukti kukuh serta menerbitkan hasil siasatannya.
/file/attachments/orphans/745645_291491.png)
“Kita tidak boleh terus meminta orang ramai menanggung kos kesihatan akibat jerebu tanpa menyiasat siapa yang bertanggungjawab terhadapnya,” katanya pada hantaran di X.
Hantaran Charles turut menandai Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang minggu lalu mempertahankan tindakan Putrajaya menangani jerebu dengan berkata kerajaan sudah melakukan segala yang termampu.
Anwar menjawab dakwaan kerajaan tidak cukup proaktif menangani jerebu yang menyebabkan tahap pencemaran udara di beberapa kawasan negara ini meningkat ke kategori tidak sihat.
Lindungi pekerja luar bangunan
Charles turut membangkitkan nasib golongan yang terpaksa bekerja di luar bangunan, termasuk penghantar makanan dan barangan, pekerja pembinaan serta petugas trafik, sehingga terdedah kepada udara tercemar selama berjam-jam.
“Siapa yang bertanggungjawab melindungi mereka?” soalnya dalam hantaran lain yang menandai Menteri Sumber Manusia R Ramanan.
Menurut Charles, Malaysia memerlukan ambang kualiti udara yang jelas untuk mengurangkan atau menghentikan sementara kerja di luar bangunan ketika jerebu teruk.
Langkah itu, katanya, perlu disokong penilaian risiko tempat kerja yang diwajibkan, alat pelindung pernafasan yang sesuai serta penugasan alternatif apabila tahap pendedahan tidak lagi selamat.
/file/attachments/orphans/haze1_212661.png)
“Negara lain sudah menggunakan ambang kualiti udara untuk menentukan langkah berjaga-jaga di tempat kerja. Malaysia perlu menterjemahkan garis panduannya kepada tindakan yang jelas dan boleh dikuatkuasakan.
“Sekotak pelitup muka N95 dilaporkan berharga RM40 hingga RM50, manakala pilihan lain berharga RM57 hingga RM60. Ini perbelanjaan besar bagi pekerja yang mungkin memerlukan perlindungan sepanjang tempoh jerebu berpanjangan.
“Kerajaan perlu merundingkan perolehan secara pukal dan memastikan pelitup muka N95 yang diperakui kualitinya boleh diperoleh pada harga berpatutan. Majikan mesti menanggung kos perlindungan yang diperlukan akibat pendedahan di tempat kerja,” katanya sambil menandai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Dalam hantaran berasingan yang ditujukan kepada Anwar, Charles menggesa penyelarasan lebih kukuh antara kementerian yang menguruskan kesihatan, tenaga kerja, alam sekitar dan perdagangan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Katanya, sebagai pihak dalam Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, Malaysia juga perlu memperkukuh pemantauan serantau, perkongsian maklumat dan penguatkuasaan.
'Kekangan bukti kesan punca jerebu'
Pada 13 Okt, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan sudah menilai kebolehlaksanaan menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan.
Katanya, kementerian meneliti keperluan pembuktian, bidang kuasa penguatkuasaan serta kemungkinan implikasi diplomatik terhadap hubungan dengan negara jiran.
/file/attachments/orphans/GreenpeaceIndonesiaprotest1asd2ads1_733522.png)
Bagaimanapun, halangan terbesar ialah mengumpulkan bukti mencukupi untuk mengesan punca jerebu dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Sementara itu, Singapura berikrar menggunakan segala saluran undang-undang, kawal selia dan ekonomi yang tersedia terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu, serta meneruskan tindakan selama mana yang diperlukan.
Menteri Kanan K Shanmugam pada 19 Okt berkata Singapura juga bersedia segera memperkukuh undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/69a6b2baf47ae9f7869bf68251242f01.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.