Hadi Awang dakwa ketakutan sedang memuncak di pihak kerajaan
PAS mengecam tindakan kerajaan membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) melalui suatu notis yang dikeluarkan semalam dan akan mengambil tindakan mahkamah bagi mencabar keputusan itu.
Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu kesal dengan keputusan terbabit yang dilihat mendahului keputusan mahkamah serta menghadkan hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan.
“(Ini) sekaligus memperlihatkan ketakutan yang sedang memuncak di pihak kerajaan.
“Tindakan di mahkamah bagi mencabar keputusan ini akan diambil secara bersama dengan parti-parti PN yang sehaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, RoS mengesahkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Pada 23 September lalu, RoS mengantung semua kegiatan PN mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) susulan notis dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.
PN menerima notis RoS bertarikh 22 September lalu yang memberi tempoh 30 hari kepada gabungan itu untuk mengemukakan penjelasan mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut mengesahkan segala aspek pentadbiran dan pengurusan PN dijalankan secara teratur mengikut perlembagaan parti.
“Keharmonian dalam kalangan parti anggota amat utuh, kecuali satu pihak yang telah menyisihkan diri dan berpaling arah,” katanya yang jelas merujuk kepada Bersatu.
PAS dan Bersatu - dua parti utama dalam gabungan PN - gagal untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan, sebelum ini - dan dijangka akan bertembung lagi pada Pilihan Raya Negeri Melaka, pada 14 November ini.
Gabungan pembangkang itu yang dikuasai PAS sudah beberapa bulan meminggirkan Bersatu dan pada masa sama gabungan tersebut mendekati Umno.
Abdul Hadi berkata, selain tindakan mahkamah, langkah seterusnya PAS adalah persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 14 November ini.
"PAS menghargai sokongan ahli, penyokong dan pengundi atas pagar yang mengharapkan berlaku perubahan dalam kepimpinan negara.
"PAS juga menyeru semua pihak untuk menghormati undang-undang dan lunas demokrasi," katanya lagi
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/43fef37f9a52b58ae1a0c5baa8dc0ab6.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.