PARLIMEN | Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa berlaku pencabulan terhadap perlembagaan yang menyebabkan kecelaruan, sambil memetik krisis adat dan diraja yang berlaku di Negeri Sembilan dan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai contoh.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Negeri Sembilan mempunyai perlembagaannya sendiri namun mendakwa ada pihak campur tangan sehingga keadaan bercelaru.

Jelas Hadi, Negeri Sembilan mempunyai adat yang menekankan agar adat bersendikan syarak dan syarak bersendikan kitab Allah.

"Habis di situ kitab Allah paling tinggi, ini ada lagi. Kitab Allah bersendikan perdana menteri, perdana menteri bersendikan PH, PH bersendikan DAP yang mendominasi dalam kerajaan. Ini masalahnya.

"Menunjukkan bahawa perlembagaan kita telah dicabul melalui pintu belakang, cabul pintu belakang ini orang panggil apa tak tahulah," katanya dalam perbahasan Belanjawan di Dewan Rakyat, hari ini..

Hadi tidak mengulas secara langsung krisis dan pertikaian takhta antara Undang Yang Empat dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, namun mengaitkannya kecelaruan di negeri itu dengan usaha pihak yang tidak mahu PN dan BN bekerjasama.

"Apa yang berlaku di Negeri Sembilan sangat menarik, kita menyaksikan bagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, rakyat telah memilih kerajaan melalui parti-parti yang bertanding. Lalu parti yang bertanding bersetuju nak tubuh kerajaan campuran, BN dan PN. Saya difahamkan ada (yang) pujuk sebahagaian daripada Umno yang ada dalam BN jangan kerjasama dengan PN, (tapi) kerjasama dengan PH.

"Umno ini tak mahu dah Um-DAP ini. Maka jadi masalah pada kerajaan yang dipilih secara demokrasi sehingga exco pun nak dipecat, tak tahu siapa ada kuasa terhadap exco, tak boleh masuk pejabat, jaga pejabat, kawal pejabat, ini mana demokrasi?" katanya.

Memetik skandal Watergate di AS yang menyebabkan peletakan jawatan Presiden Richard Nixon, Hadi memberi peringatan agar semua pihak menghayati sistem raja berperlembagaan.

"Kita kena sedar bagaimana raja berperlembagaan diamalkan dengan betul, raja di bawah perlembagaan. Tetapi kalau raja dikacau ini sangat dahsyat, apa nak jadi dengan negara kita, demokrasi rakyat pilih, tetapi kerajaan tak boleh dibentuk, kena campur tangan," katanya.

Tambahnya Malaysia mengamalkan mengamalkan konsep federalisme dengan negeri dan kerajaan pusat mempunyai kuasa masing-masing.

Justeru katanya, kerajaan pusat tidak boleh mencampuri kuasa kerajaan negeri.

"Kini saya lihat berlaku perlembagaan kita dicabul, kalau di Amerika skandal Watergate yang mencabul demokrasi presiden dipecat (merujuk peletakan jawatan Nixon), kita menghadapi perlembagaan dicabul, kerajaan pusat mengatasi perlembagaan, raja berperlembagaan tidak berfungsi, peranan mahkamah dibelakangi.

"Belum keputusan mahkamah, dibatal pendaftaran PN, sepatutnya tunggu mahkamah dulu, ini yang berlaku," ujarnya.

Semalam, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengumumkan pendaftaran PN dibatalkan selepas surat penjelasan yang dihantar oleh parti gabungan pembangkang itu dianggap tidak menjawab persoalan yang dikemukakan jabatan berkenaan.

ROS menghantar notis kepada PN pada 22 Sept lalu dan dijawab pada 12 Okt.

Jawaban yang diberikan PN, kata ROS, didapati tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran seperti yang dinyatakan dalam notis kepada parti terbabit.

“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah Subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta 832,” kata ROS.

Dalam perkembangan itu, Amirudin Shari (PH-Gombak) yang tanpil berbahas selepas Hadi, membidas dakwaan campur tangan PH dalam krisis adat Negeri Sembilan, sambil menyifatkan kenyataan tokoh PAS itu sebagai mitos baru.

"Apa yang disebut Marang (Abdul Hadi) tadi adalah 'new myths', DAP mengawal PH, PH menyebabkan kekacauan dan kekeliruan.

"Saya pun tak tahu, tapi saya kata saja kalau BN dan PN berkuasa di Negeri Sembilan, masalah Kesultanan di Negeri Sembilan itu selesai. Nampaknya, makin haru-biru dan makin kelam-kabut," katanya.