PARLIMEN | Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden memberi amaran mengenai ancaman digital yang semakin meningkat terhadap kanak-kanak, dengan membangkitkan dakwaan penyebaran imej bogel janaan kecerdasan buatan (AI) membabitkan lebih 300 pelajar perempuan di Seremban serta laporan perekrutan anggota kumpulan ekstremis melalui permainan dalam talian.

Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, ahli parlimen Alor Setar itu mempersoalkan sama ada langkah penguatkuasaan sedia ada mencukupi untuk melindungi kanak-kanak daripada ancaman baru dalam talian.

Dia membangkitkan kes di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan, yang didakwa membabitkan wajah lebih 300 pelajar perempuan disunting pada imej bogel menggunakan AI.

“Bayangkan anak kita tiba-tiba tersebar dalam media sosial, dalam internet, muka anak kita, tapi bogel. Badan orang lain.

“Mana nak letak maruah budak itu? Trauma yang ditanggung. Kita sebagai ayah, mana nak letak muka kita? Kalau kita marah, malu sekalipun, nak cari macam mana orang yang buat ini?” soalnya.

Kebimbangan itu selari dengan dapatan siasatan lima bahagian Malaysiakini mengenai bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang mendedahkan bagaimana platform media sosial, termasuk Telegram, disalahgunakan untuk mengedar dan menjual bahan penderaan membabitkan kanak-kanak.

Siasatan yang diterbitkan antara Julai dan Ogos itu turut mendokumentasikan pengalaman mangsa di Malaysia yang imej mereka dimanipulasi menjadi imej seksual palsu, dengan mengetengahkan trauma emosi serta kesukaran mereka mendapatkan keadilan.

Afnan turut mempersoalkan keupayaan pihak berkuasa mengenal pasti pelaku yang menghasilkan dan menyebarkan imej yang dimanipulasi.

“Macam mana negara yang sudah maju membangun, AI itu ada, kenapa kita tak boleh sampai sekarang ini menghalang imej-imej palsu?

“Tak kiralah melibatkan pemimpin politik ke, melibatkan siapa, apatah lagi melibatkan anak yang tidak bersalah, yang tak tahu apa,” katanya.

Pada Isnin, Harian Metro melaporkan kes di Seremban itu terbongkar pada Ogos selepas seorang pelajar tingkatan dua dikatakan menemukan imej lucah dalam telefon pintar yang tidak dikunci dan ditemukan di surau sekolahnya.

Menurut akhbar itu, peguam Ng Kian Nam, yang mewakili keluarga terjejas, berkata imej yang dimanipulasi itu didakwa diedarkan dalam kalangan pelajar dan dijual melalui Telegram.

Ng berkata pihak sekolah mengakui lebih 300 pelajar mungkin terjejas dalam pertemuan pada 15 Sept yang melibatkan ibu bapa, persatuan ibu bapa dan guru, lembaga pengelola sekolah serta pegawai pendidikan negeri.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad dilaporkan mengesahkan polis menerima lima laporan antara 20 hingga 23 Ogos membabitkan pelajar perempuan berusia 14 hingga 17 tahun.

Kebimbangan perekrutan melalui Roblox

Beralih kepada permainan dalam talian, Afnan merujuk kenyataan terbaru bekas timbalan ketua polis negara Ayob Khan Mydin Pitchay mengenai kumpulan ekstremis yang menyasarkan kanak-kanak melalui Roblox.

Ahli parlimen PAS itu berkata kaedah perekrutan yang dilaporkan menunjukkan bagaimana persekitaran permainan dalam talian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada ideologi ekstremis.

“Dia bercakap dengan budak itu, berkenalan. Dia bawa ke satu group chat yang lain, di situ dia tanam doktrin.

“Doktrin sesat, menyesatkan agama, doktrin lawan itu, bunuh orang ini, lawan polis, lawan kerajaan. Di situ didoktrin.

“Ini sangat bahaya,” kata Afnan.

Pada 18 Okt, Ayob Khan dilaporkan memberi amaran bahawa kanak-kanak seawal usia 12 tahun menjadi sasaran perekrut kumpulan ekstremis melalui platform permainan seperti Roblox.

Dia dipetik FMT berkata golongan ekstremis pada mulanya berkawan dengan kanak-kanak dalam talian sebelum membawa mereka ke kumpulan tertutup untuk diindoktrinasi dan digalakkan melakukan serangan.

Susulan pendedahan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti mekanisme untuk memperluas sekatan umur kepada platform permainan dalam talian.

Semalam, Fahmi turut mengumumkan rancangan memperkukuh kerjasama rentas sempadan berhubung keselamatan kanak-kanak dalam talian selepas bertemu Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Hafid pada acara Bali Tech Week 2026.

Gesaan audit keselamatan sekolah

Selain ancaman dalam talian, Afnan mencadangkan sistem pengelasan seperti lampu isyarat untuk menilai risiko keselamatan sekolah, dengan tumpuan terhadap keseluruhan susun atur bangunan.

Menurut cadangannya, warna hijau menunjukkan sekolah yang agak selamat, kuning menandakan keadaan yang memerlukan langkah berjaga-jaga, manakala merah mengenal pasti sekolah yang memerlukan perhatian segera.

“Banyak kejadian jenayah berlaku dalam tandas. Bunuh, rogol, berlaku dalam tandas.

"Sebab apa? Dia duduk di hujung bangunan, tersorok, dia sunyi.

“Maka kena diaudit semula, ubah kedudukan tandas,” katanya.

Dia berkata pengelasan itu boleh dijadikan panduan untuk mengagihkan peruntukan penyelenggaraan dan penambahbaikan berdasarkan tahap risiko setiap sekolah.

Khidmat kaunseling

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kementeriannya bersedia menyediakan khidmat kaunseling kepada 300 pelajar perempuan di Seremban, Negeri Sembilan yang didakwa menjadi mangsa gambar bogel hasil suntingan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya terdapat beberapa agensi di bawah KPWKM yang menyediakan khidmat itu termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Dia berkata walaupun kementerian itu belum menjalinkan kerjasama khusus berhubung kes itu, namun pihaknya akan melihat keperluan untuk mengambil tindakan bersesuaian.

“Kita terbuka kepada mereka yang hendak datang kepada kita. Kalau kita hendak mencari mereka, ia agak mengambil masa kerana berdasarkan keadaan gambar AI itu, agak sukar untuk kita mengetahui siapa mereka.

“Kita mahu beritahu terutama kepada keluarga, jika mereka memerlukan kaunseling daripada kementerian, kita ada kaunselor bertauliah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pink CaRe: Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC) di George Town hari ini.

Nancy berkata demikian berhubung laporan media mendakwa lebih 300 pelajar perempuan sekolah menengah di Seremban menjadi mangsa penyuntingan gambar bogel menggunakan teknologi AI.

Gambar mengaibkan itu difahamkan bukan sahaja disebarkan dalam kalangan pelajar di sekolah malah dijual menggunakan aplikasi Telegram.