MCMC siasat Chegubard berhubung hantaran didakwa hina Tuanku Muhriz
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat pemilik akaun Facebook Chegubard berhubung hantaran yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut MCMC, kandungan berkenaan dikenal pasti menyentuh Tuanku Muhriz dan kerabat diraja Negeri Sembilan.
Siasatan dipercayai berkaitan hantaran yang mempersoalkan pertimbangan dan emosi baginda, selain mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz serta membangkitkan dakwaan mengenai pelantikan Menteri Besar dan pendirian politik istana.
Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard hadir di Balai Polis Cyberjaya hari ini untuk membantu siasatan.
MCMC berkata pegawai penyiasat turut menyita sebuah telefon bimbit dan kad SIM ketika merakam percakapannya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Dalam kenyataannya, MCMC menegaskan pihaknya memandang serius penggunaan platform dalam talian yang boleh mencetuskan kebencian, penghinaan atau rasa tidak hormat terhadap institusi diraja.
“Kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab serta selaras dengan undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Malaysiakini telah menghubungi Chegubard untuk mendapatkan ulasan lanjut.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/02/2be97fbeff154acf0937810f45a14b01.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.