Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil membalas kritikan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi, yang menyelar kenyataannya di Dewan Rakyat berhubung isu jerebu rentas sempadan.

“Bapak, ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia. Bendera kita berbeza, tapi bila sesak nafas, deritanya sama.

“Jadi, bila bapak kata syarikat Malaysia salah, syarikat Singapura salah, kalau ada bukti hukum, saya tak akan jadi pelindung pencemar walaupun dari negara saya sendiri,” katanya dalam perkongsian video di media sosial.

Mengulas kritikan Muhammad Lutfi berhubung gesaannya supaya Asean memulaukan Indonesia susulan isu jerebu rentas sempadan yang terus berulang, pemimpin Muda itu berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dilihat sebagai pertelingkahan antara dua negara.

Sebaliknya, kata Syed Saddiq ia perlu ditangani melalui tindakan berasaskan bukti terhadap mana-mana pihak yang didapati mencemarkan alam sekitar.

"Bendera bukan lesen untuk merosakkan alam. Mereka (pihak bertanggungjawab) beroperasi di Indonesia di bawah undang-undang Indonesia. Kuasa (mengambil tindakan) di tangan anda (kerajaan Indonesia).

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar

"Di parlimen saya sendiri sudah mendesak tindakan terhadap syarikat Malaysia yang (jika didapati) terlibat. Lihat ucapan penuh saya, jangan potong ucapan sampai terpotong kebenaran," katanya sambil menambah pemilikan ladang berskala besar juga tidak boleh dijadikan bukti mana-mana syarikat bersalah.

Mengulas mengenai syarikat perladangan SG Guthrie, Syed Saddiq berkata, setakat ini tiada bukti pihak berkenaan sebagai pencetus kebakaran.

Malah, katanya, syarikat tersebut mempunyai 67 pasukan dengan lebih 1,000 anggota terlatih, dron dan (peralatan) inframerah bagi menangani isu pencemaran dengan membiayai perbelanjaan lebih RM800,000 sebulan.

Syed Saddiq turut mempertikaikan cara Lutfi menggunakan laporan Greenpeace, khususnya perbandingan jumlah titik sumber asap.

Gambar Hiasan - Keadaan jerebu di Kalimantan, Indonesia sekitar Oktober 2026

"(Selain itu), kalau mahu petik laporan Greenpeace jangan petik separuh cerita. Laporan itu merekodkan 19 titik sumber asap di konsesi syarikat KLK berbanding 6,811 yang lain.

"Bapak mahu kami hanya fokus kepada penyumbang 0.3 peratus daripada 99.7 peratus yang lain. Jangan lantang terhadap satu nama kemudian senyap terhadap yang lain," katanya.

Syed Saddiq juga membidas pentadbiran Indonesia yang tidak memberi maklum balas berhubung tawaran bantuan Malaysia bagi menangani kebakaran hutan di Indonesia.

“Malaysia sudah pun menawarkan pesawat, tiga helikopter dan anggota. Tetapi kena ghosting oleh pendakwa di Indonesia. Nak tolong pun susah,” katanya.

Dia seterusnya berkata, luahannya itu bukan mengenai Malaysia melawan Indonesia.

“Ini rakyat yang mahukan udara bersih melawan pihak yang mengotorkannya. Apabila hutan dibakar untuk keuntungan, untung masuk ke akaun syarikat, asap masuk paru-paru rakyat.

"Jerebu tidak memilih mangsa. Ia tidak membezakan warna kulit, agama atau kewarganegaraan. Anak Malaysia sesak nafas, anak Indonesia juga sesak nafas.

Bantahan Greenpeace di Jakarta, Indonesia yang mendesak Presiden Prabowo menyelesaikan masalah jerebu

“Bendera kita mungkin berbeza, tetapi keperluan kita untuk bernafas tetap sama. Jangan bela pembakar kerana benderanya, bela rakyat kerana nyawanya," katanya lagi.

Lutfi dipetik hari ini oleh media Indonesia sebagai berkata, masalah jerebu bukan peluang untuk meraih publisiti politik, murahan, sebaliknya harus ada simpati pada anggota bomba Indonesia yang terkorban ketika memadamkan kebakaran.

Dakwanya, syarikat Malaysia yang mengendalikan ladang di Indonesia perlu turut bertanggungjawab terhadap krisis berkenaan.