PARLIMEN l Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang gagal bertindak menyelesaikan isu kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan anggota polis secara kekeluargaan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PAS- Machang) berkata, kedua-dua agensi berkenaan berada di bawah kementerian yang diterajui Saifuddin.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PAS- Machang)

"Kenapa bapanya iaitu Menteri Dalam Negeri tidak mengambil pendekatan untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak?

"Kenapa nak dedahkan buka pekung agensi-agensi yang bertelagah sampai didakwa di mahkamah? Ini tidak baik untuk penjawat awam.

“Jadi saya harap menteri tariklah balik ke atas apa yang dibuat oleh Suhaily ini," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal menjawab celahan Rasol Wahid (PAS-Hulu Terengganu) yang mempersoalkan tiada usaha untuk mendamaikan diambil Saifuddin.

Rasol juga mempersoal tindakan pendakwaan yang agak cepat terhadap Shuhaily umpama ada agenda tertentu khususnya membabitkan 'mafia korporat'.

Semalam, Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Shuhaily berdepan dua pertuduhan berasingan dan melakukan kesalahan itu terhadap Faiz Saman serta Ekmal Sofwan Dirman.

Mohd Shuhaily Mohd Zain, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS)

Shuhaily didakwa menyebabkan kecederaan terhadap kedua-dua anggota polis itu kira-kira jam 1.27 tengah hari pada bulan lalu, berhampiran Kaunter J di aras lima lapangan terbang antarabangsa berkenaan.

Shuhaily yang kelihatan tenang ketika berada di kandang tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Shuhaily yang terdiri daripada beberapa peguam berpengalaman memohon jumlah jaminan lebih rendah kerana kesalahan itu boleh dikompaun.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal ketika memulakan ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mendoakan kesihatannya.

Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu sebelum ini dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri ketika sedang mengajar anaknya membuat latihan sekolah.