K'jaan Madani selesai 12 daripada 16 perkara dalam MA63 - Mustapha
Kerajaan MADANI merekodkan kemajuan paling ketara dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila berjaya memuktamadkan 12 daripada 16 perkara yang telah diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh empat tahun pentadbiran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata pencapaian itu merangkumi 75 peratus daripada keseluruhan tuntutan yang berjaya diselesaikan sejak 2016, berbanding hanya empat perkara di bawah pentadbiran terdahulu berdasarkan rekod pemantauan rasmi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
"Kritikan mestilah dibuat berasaskan fakta, bukan dengan sangkaan jahat yang menggambarkan seolah-olah tiada sebarang usaha atau kemajuan dalam pelaksanaan MA63," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Beliau menjelaskan daripada 29 perkara yang dipantau MTPMA63 setakat Oktober 2026, sebanyak 16 perkara telah diselesaikan sepenuhnya, tiga perkara selesai secara interim atau sebahagian, manakala baki 10 perkara lagi masih berada dalam proses rundingan aktif.
Antara kejayaan penting yang dicapai ialah penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah, pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta pengambilalihan MASWings yang kini dikenali sebagai AirBorneo.
Menyentuh tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, Mustapha berkata rundingan teknikal bagi memuktamadkan mekanisme pelaksanaan, formula jumlah sebenar serta garis masa pembayaran masih giat dijalankan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata rundingan teknikal itu melibatkan perbincangan berterusan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Menteri Kewangan Sabah serta pasukan teknikal kedua-dua pihak agar keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan.
Bagi memastikan keupayaan kewangan Sabah diperkukuh tanpa menunggu rundingan 40 peratus dimuktamadkan, beliau berkata Kerajaan Persekutuan mengambil langkah proaktif melonjakkan kadar pemberian khas interim kepada Sabah daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM1.5 bilion tahun ini.
"Pemberian khas ini disalurkan terus ke kantung Kerajaan Negeri Sabah untuk dimanfaatkan oleh rakyat dan kita harus jelas bahawa ini merupakan hak kewangan Sabah, bukannya sedekah politik daripada mana-mana pihak," tegasnya.
Kadar interim RM1.5 bilion yang turut diumumkan bagi 2027 itu merupakan kadar tahunan tertinggi yang pernah disalurkan kepada Sabah dalam sejarah, sekali gus menepis dakwaan bahawa usaha memuktamadkan hak perlembagaan negeri telah terhenti.
Dalam pada itu, Mustapha menjelaskan komitmen kewangan Persekutuan kepada Sabah melonjak sebanyak 43.8 peratus atau RM5.7 bilion, iaitu daripada perbelanjaan sebenar RM13 bilion pada 2022 kepada peruntukan RM18.7 bilion menerusi Belanjawan 2027.
“Perbelanjaan dan peruntukan keseluruhan kepada Sarawak turut menyaksikan kenaikan 58.8 peratus atau RM6 bilion dalam tempoh sama, iaitu daripada RM10.2 bilion pada 2022 kepada RM16.2 bilion bagi peruntukan 2027,” katanya.
Beliau berkata rekod pemberian khas interim kepada Sabah sebelum ini bermula dengan RM26.7 juta pada 2021, sebelum meningkat kepada RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta (2023), RM306 juta (2024), RM600 juta (2025) dan mencecah RM1.5 bilion pada 2026.
Mustapha berkata peningkatan peruntukan kewangan tersebut mesti diterjemahkan kepada tindakan penyelesaian yang pantas di lapangan agar impaknya dapat dirasai rakyat yang masih mendepani isu jalan raya, bekalan air, elektrik serta kelewatan projek infrastruktur termasuk Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau berkata MA63 tidak wajar dijadikan modal politik untuk menuduh kerajaan gagal, memandangkan rekod kemajuan yang jelas dan boleh diukur itu membuktikan komitmen jitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membela hak rakyat Sabah dan Sarawak.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/08d5d64a1d525c27f18089aee84e38cc.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.