Perikatan Nasional (PN) boleh meneruskan perancangan untuk bertanding pada pilihan raya negeri Melaka selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang membatalkan pendaftaran gabungan pembangkang itu.

Keputusan mahkamah dibuat selepas RoS membatalkan pendaftaran PN pada Selasa lalu berikutan jawapan gabungan itu terhadap notis tunjuk sebab dianggap tidak memuaskan.

Penangguhan itu dibenarkan susulan permohonan PN sebelum ini yang bertujuan menghalang RoS daripada mengambil tindakan lanjut terhadap gabungan tersebut. Mahkamah mendapati bahawa pembatalan pendaftaran selepas itu berisiko menjejaskan permohonan berkenaan sebelum semakan kehakiman dapat diputuskan.

Bagaimanapun, Hakim Azizan Arshad hari ini berkata penangguhan itu kekal berkuat kuasa sehingga semakan kehakiman PN yang mencabar pembatalan pendaftaran berkenaan didengar dan diputuskan.

“Pada peringkat ini, mahkamah tidak akan memutuskan sama ada tindakan responden membatalkan pendaftaran adalah sah, atau sama ada ia dikecualikan daripada semakan kehakiman.

“Impak atau kesahan penggunaan kuasa sedemikian masih boleh dicabar dalam prosiding berasingan,” katanya.

Hakim Azizan berkata mahkamah mendapati tiada sebarang prejudis sekiranya penggantungan ini dibenarkan, kerana pengawasan berterusan terhadap aktiviti politik pemohon atau PN masih lagi boleh dipantau secara berterusan.

Ini, katanya boleh dikuatkuasakan, sekiranya berlaku apa-apa aktiviti politik yang bertentangan dengan perundangan negara.

“Oleh itu, permohonan penggantungan pelaksanaan dibenarkan sehingga pelupusan penuh pendengaran substantif semakan kehakiman in.

“Mahkamah tidak menerima hujahan peguam kanan persekutuan bahawa permohonan ‘stay’ menjadi akademik secara automatik, hanya kerana pembatalan telah berkuat kuasa.

“Namun, pada peringkat ini, mahkamah tidak akan memutuskan sama ada tindakan responden membatalkan pendaftaran pertubuhan adalah sah atau bebas daripada penelitian kehakiman. Kesahan pelaksanaan kuasa itu masih boleh dipersoalkan dalam prosiding yang lain,” katanya selepas peguam kedua-dua pihak berhujah menyokong atau menentang penangguhan berkenaan.

Sebelum itu, peguam kanan persekutuan Nurhafizza Azizan berhujah bahawa PN perlu memfailkan permohonan semakan kehakiman baharu keranaRoS belum membatalkan pendaftaran gabungan itu semasa permohonan asal difailkan, sekali gus menjadikan isu berkenaan bersifat akademik.

Bagaimanapun, peguam PN Azhar Azizan Harun mempertahankan bahawa permohonan itu kekal relevan kerana salah satu relief yang dipohon dalam permohonan itu ialah perintah menghalang RoS daripada membatalkan pendaftaran gabungan itu sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman.

Azhar turut berhujah bahawa RoS bertindak terlalu awal dengan membatalkan pendaftaran PN sebelum tempoh 30 hari yang ditetapkan dalam notis tunjuk sebab tamat.

“Dalam tergesa-gesa untuk menghentikan prosiding ini, mereka melanggar garis masa 30 hari yang ditetapkan dalam notis mereka sendiri.

“Pembatalan pendaftaran sepatutnya berlaku selepas 30 hari dari tarikh notis. Ini syarat statutori,” kata Azhar.

Pertikaian berpanjangan itu berpunca daripada aduan Bersatu yang tidak lagi sehaluan dan berbalah dengan sekutunya, PAS mengenai hala tuju PN.

Pada 22 Sept, PN menerima notis tunjuk sebab daripada RoS berhubung kegagalan menjemput Bersatu ke mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu pada 16 Julai. Pada hari berikutnya, ia diarahkan menggantung segala aktiviti di bawah nama PN.

Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan pada 24 Sept membidas RoS dengan menyatakan notis pembatalan pendaftaran dikeluarkan secara niat jahat (mala fide) untuk mengenakan tekanan politik.

PN kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan kejelasan mengenai statusnya dan membatalkan tindakan RoS.

Antara pemohon termasuk Takiyuddin bersama setiausaha agung parti komponennya, termasuk Saifuddin Abdullah (Wawasan Negara), Sazmi Miah (Pejuang), Wong Chia Zhen (Gerakan), dan Satish Kumar (MIPP).

Ketua Pengarah RoS Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dinamakan sebagai responden.

RoS sebelum ini mengeluarkan perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 Sept. Menurut kenyataan RoS, tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 Sept.

Bagaimanapun pada 20 Okt, RoS membatalkan pendaftaran PN mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis bertarikh 22 Sept lepas.