Meskipun mendiang Karpal Singh sudah tiada namun siasatan polis terhadap tiga peguam berhubung kes kematian Noorizwan Zulkefly di dalam tahanan membawa Ahli Parlimen Gelugor Ramkarpal Singh mengenang pendakwaan terhadap bapanya lebih dua dekad lalu.

Bekas pengerusi DAP itu didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 atas kenyataan di mahkamah ketika membela Anwar Ibrahim, sebelum pendakwaan itu ditarik balik pada 2002.

Bagi Ramkarpal, episod lama yang dikecam sebagai usaha menakut-nakutkan peguam kerana menjalankan tugas tanpa takut dan pilih kasih kini seakan berulang.

“Amat memalukan apabila insiden sedemikian berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Madani ketika ini, memandangkan komitmen kerajaan yang diketahui umum terhadap reformasi institusi dan pembelaan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Pada Selasa, Lawyers for Liberty (LFL) mendedahkan tiga peguam disiasat kerana didakwa memberi tekanan kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz supaya menyerahkan gambar bedah siasat yang menunjukkan 21 kecederaan mengerikan.

Mereka ialah pengasas LFL, Latheefa Koya dan N Surendran, serta Dina Zamri, yang mewakili keluarga Noorizwan.

Ramkarpal menegaskan tiada salahnya peguam bersikap proaktif dalam mewakili anak guam, termasuk mendapatkan maklumat daripada agensi yang menyiasat kes mereka.

“Saya tidak dapat melihat apakah kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh ketiga-tiga peguam tersebut sehingga wajar dikenakan siasatan. Tidak dapat dinafikan bahawa tindakan ini boleh dilihat sebagai satu bentuk intimidasi terhadap mereka,” katanya.

Ramkarpal turut menuntut Ketua Polis Negara Khalid Ismail, yang berpejabat di tingkat 31 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, menjelaskan peruntukan undang-undang yang menjadi asas siasatan itu.

“Siasatan terhadap ketiga-tiga peguam tersebut mencerminkan tindakan polis yang melampaui batas dan boleh dianggap sebagai satu bentuk gangguan yang mesti dikecam sekeras-kerasnya.

“Peguam mempunyai tanggungjawab untuk mewakili anak guam mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Di Sabah, kira-kira 2,000km dari kawasan parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang, seorang lagi peguam yang menceburi politik turut menyuarakan kemarahannya.

“Tindakan polis ‘bikin panas telinga oh’,” kata Adun Kapayan daripada Warisan, Chin Tek Ming (gambar atas) kepada Malaysiakini menerusi mesej teks ketika berkongsi kenyataan medianya.

Chin menyokong pendirian bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan yang turut mengkritik siasatan berkenaan.

Katanya, tindakan polis itu boleh menimbulkan kebimbangan bahawa peguam ditekan semata-mata kerana menjalankan tugas profesional untuk mendapatkan keadilan.

“Peguam mesti bebas menjalankan tanggungjawab profesional mereka tanpa rasa takut, tekanan atau pilih kasih.

“Tugas seorang peguam bukan sekadar mewakili anak guam, tetapi juga memastikan hak mereka dilindungi, proses undang-undang dihormati dan keadilan dapat ditegakkan.

“Apabila seorang peguam mewakili keluarga yang menuntut penjelasan mengenai kematian dalam tahanan, tindakan mereka tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menakut-nakutkan atau menghalang usaha mendapatkan kebenaran,” katanya.

Chin menegaskan pendiriannya bukan untuk membuat kesimpulan awal terhadap mana-mana pihak, tetapi mempertahankan prinsip bahawa kuasa penguatkuasaan mesti digunakan secara bertanggungjawab dan tertakluk pada kedaulatan undang-undang.

“Jangan jadikan peguam yang memperjuangkan keadilan sebagai sasaran tekanan. Jangan biarkan persoalan mengenai kematian dalam tahanan dibayangi kebimbangan terhadap kebebasan peguam,” katanya.

Sehari selepas LFL menyiarkan gambar kecederaan Noorizwan, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata penyiasat sedang menunggu laporan penuh Jabatan Kimia serta keputusan rasmi patologi sebelum melengkapkan siasatan.

Dia turut menggesa orang ramai supaya tidak mengulas atau membuat spekulasi mengenai kes itu, sambil memberi amaran penyebaran maklumat yang belum disahkan boleh mengelirukan masyarakat dan menimbulkan kebimbangan.