BN tidak mengambil sebarang risiko dalam pilihan raya negeri Melaka, dengan memilih untuk bertanding hanya di kerusi yang dimenangi oleh mereka atau rakan kongsinya Perikatan Nasional sebelum ini - langkah yang secara tidak langsung mengguris hati MCA.

Ketua Menteri sementara Ab Rauf Yusoh akan mempertahankan kerusi Tanjung Bidara bagi penggal kedua manakala Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh akan kekal di Merlimau walaupun sebelum ini membayangkan akan berpindah.

Tanjung Bidara berpotensi sengit sekiranya PN dan BN bertembung - memandangkan sokongan kepada PN di kawasan berkenaan adalah pada kadar 51 peratus semasa pilihan raya umum ke-15, berbanding 41 peratus bagi BN.

Namun, dengan gabungan kedua-duanya, Rauf berkemungkinan besar memenangi kerusi itu dengan kemenangan mudah.


Begitu juga dengan Merlimau - dengan sokongan BN dan PN melebihi 50 peratus - berkemungkinan besar menjadi laluan mudah bagi Akmal.

Umno juga dilihat bertukar kerusi dengan PN, mengambil Sungai Udang sebagai ganti Paya Rumput. Kedua-dua kerusi mempunyai gabungan sokongan BN-PN melebihi 50 peratus.

MCA tak puas hati

Sementara itu, media berbahasa Cina melaporkan bahawa Presiden MCA Wee Ka Siong dan pemimpin parti lain keluar dari dewan tempat calon diumumkan - didakwa berang kerana MCA hanya akan bertanding di dua kerusi.

Dua kerusi ini - Machap Jaya dan Klebang - merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi MCA sebelum ini. Lima lagi kerusi yang ditandinginya pada 2021 dimenangi sama ada oleh DAP atau PN.

Wee pada sidang media tergempar kemudian berkata MCA berang kerana kerusi-kerusi ini diserahkan kepada "pihak sebelah sana" tanpa sebarang perundingan dengan parti itu.

"Ini sesuatu yang kami amat tidak berpuas hati," katanya dalam bahasa Mandarin.

Wee menggesa kepimpinan pusat BN untuk campur tangan dalam hal itu.

Apabila ditanya sama ada MCA tidak akan bertanding dalam pilihan raya Melaka sebagai tanda protes, Wee berkata mereka akan menunggu untuk melihat bagaimana perkembangan situasi dalam masa beberapa hari akan datang.

MIC akan kekal dengan satu kerusi, Gadek, seperti pilihan raya negeri sebelum ini.

Dengan langkah ini, semua risiko menentang Pakatan Harapan di lima kerusi yang dimenanginya sebelum ini - Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, dan Bandar Hilir - diserahkan kepada PN. PN akan mengumumkan tujuh calon mereka untuk Melaka pada Khamis.

Ketiadaan langkah mengambil risiko oleh BN amat berbeza dengan pendekatan PH semasa pilihan raya Negeri Sembilan, apabila mereka selaku penyandang berdepan laluan sukar.

Dalam pertandingan itu, menteri besar ketika itu Aminuddin Harun mengambil risiko besar untuk merampas kubu kuat BN manakala Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kekal mempertahankan kerusi yang berisiko bertukar tangan. Kedua-duanya akhirnya kalah.

Melaka, secara perbandingan, dijangka menjadi kemenangan mudah bagi BN dan PN, yang berkemungkinan besar memenangi majoriti dua pertiga, bermakna mereka mampu untuk mengambil sedikit risiko.