Perjanjian BN-PN: Zahid intai Putrajaya, MCA terguris 'kawan lama' dilupakan
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi membayangkan kerjasama dengan PAS di Melaka mampu membawa gabungan itu selangkah lebih dekat ke Putrajaya sekiranya membuahkan hasil yang baik.
Namun, pembahagian kerusi antara kepimpinan BN negeri dengan PN mencetuskan kemarahan MCA, yang mendakwa diketepikan dalam rundingan.
Ketika berucap pada majlis pelancaran calon BN bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka malam tadi, Zahid menyeru PAS dan BN mengetepikan permusuhan lama serta saling membantu.
“Insya-Allah, jika keserasian ini dapat kita jalinkan, terowong ke Putrajaya akan lebih cerah,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/12/eb1de9c0255eabebf742dd887d9a74a6.jpg)
Dia turut memberi jaminan kedudukan rakan komponen BN, termasuk MCA dan MIC, tidak akan diganggu dan mereka akan kekal menjadi tonggak penting gabungan itu.
Menurut Zahid, kerjasama Umno dengan PAS berteraskan perpaduan ummah bagi membawa kestabilan, memajukan Melaka dan negara serta membela seluruh rakyat.
Bagaimanapun, kerjasama itu mengundang rasa tidak puas hati MCA.
Presiden MCA Wee Ka Siong bersama pemimpin parti itu keluar dewan meninggalkan majlis berkenaan, dengan membantah keputusan memperuntukkan hanya dua kerusi kepada MCA, iaitu Machap Jaya dan Klebang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/823b18d3c559e08cad16a2a9dd6bcc8e.jpg)
Lima kerusi lain yang ditandingi MCA pada PRN 2021 — Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Bemban — diperuntukkan kepada PN kali ini.
Pada pilihan raya lalu, DAP memenangi empat daripada kerusi berkenaan, manakala PN memenangi Bemban.
Pada sidang media di luar lokasi majlis, Wee mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA diserahkan kepada “pihak sebelah sana” tanpa perbincangan dengan parti itu.
“Ini sesuatu yang kami amat tidak berpuas hati,” katanya dalam bahasa Mandarin.
/file/1342/943d5ea3462b4039cb298536d1ff85d5.jpeg)
“Jangan hanya mencari kawan baru sambil melupakan kawan lama — kawan lama yang bersama anda selama berdekad-dekad. Sekurang-kurangnya berbincanglah dengan kami bagaimana untuk meneruskannya,” katanya lagi.
Wee menggesa kepimpinan pusat BN campur tangan bagi menyelesaikan pertikaian itu.
Ditanya jika MCA akan memboikot PRN Melaka sebagai tanda protes, Wee berkata parti itu akan melihat perkembangan dalam beberapa hari akan datang sebelum menentukan langkah seterusnya.
Sekiranya BN dan PN dapat mengekalkan gabungan sokongan yang diraih pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kerjasama itu berpotensi memberikan mereka majoriti dua pertiga dalam DUN Melaka pada 14 November ini, seperti kejayaan mereka di Negeri Sembilan.
Analisis Malaysiakini sebelum ini menganggarkan BN dan PN berpotensi memenangi 122 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang, dengan andaian gabungan sokongan PRU15 dapat dikekalkan.
Jumlah itu melebihi ambang majoriti mudah 112 kerusi sebanyak 10 kerusi, sekali gus membolehkan mereka membentuk kerajaan persekutuan tanpa bergantung pada sokongan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/3f96a26fbddca562fd589a1c707dae3d.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.