Pemuda PAS Selangor: Kemasukan babi di Pelabuhan Klang bercanggah titah Sultan Selangor
Pemuda PAS Selangor mendesak kerajaan negeri supaya bertindak terhadap kemasukan ribuan babi hidup ke negeri itu yang dianggap bercanggah dengan titah Sultan Selangor sebelum ini.
Naib Ketua Pemuda Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, perkara ini juga telah mendatangkan keresahan awam sertai pertikaian.
"Sebagaimana kita semua sedia maklum, Sultan Selangor telah menitahkan dengan jelas bahawa hanya daging babi yang diimport dibenarkan bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
"Justeru, laporan terhadap kemasukan babi hidup dalam skala yang besar mencetuskan persoalan yang serius: Adakah aktiviti ini membelakangi titah Sultan?," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu media tempatan melaporkan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang, Abdul Rahman Kachil mendedahkan kira-kira 800 babi hidup dibawa masuk dari Kuching, Sarawak setiap minggu sejak Julai lalu.
Katanya, babi berkenaan tiba di Pelabuhan Klang setiap minggu dengan menggunakan kapal sebelum dihantar ke sebuah premis dipercayai menjadi pusat penyembelihan.
Pada 7 Mei lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian untuk tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Baginda juga menegaskan agar isu penternakan haiwan itu dihentikan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terpelihara.
Sementara itu, Muhammad Faizzuddin berkata, isu berkenaan melahirkan kebimbangan yang amat besar terhadap impak kebersihan, kesihatan awam, dan kelestarian alam sekitar di kawasan sekitar pelabuhan.
Katanya, kawasan perairan Pelabuhan Klang merupakan lubuk rezeki bagi para nelayan dan sekiranya sisa kumbahan dan pembersihan pemunggahan babi hidup ini mengalir ke laut tanpa kawalan ketat, ia bukan sahaja berpotensi menjejaskan kualiti air malah bakal merosakkan ekosistem serta hasil tangkapan nelayan.
Oleh itu, katanya, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan kebajikan rakyat dikorbankan demi kepentingan perniagaan komersial yang derhaka dan jahat ini.
"Kami menuntut agar siasatan yang pantas dan pemantauan yang tegas dilakukan bagi memastikan tiada mana-mana pihak sengaja mencabar atau derhaka titah Sultan Selangor.
"Pemuda PAS Selangor beri amaran kepada Menteri Besar Selangor bahawa kerajaan negeri jangan ambil ringan isu ini dan jangan sesekali melindungi mereka yang khianat dan derhaka kepada Sultan Selangor," katanya lagi.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/06/929a54d5ec2cc16a031a34bb60a4653c.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.