'Ada peluang lagi, watikah calon belum ditandatangani' - Zahid, MCA akan runding isu agihan kerusi
Isu ketidakpuasan hati MCA berhubung pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan dibincangkan dan diselesaikan secara bersama sebelum 31 Okt ini.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah bertemu Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum majlis pengumuman calon berlangsung dan memahami kekeliruan yang timbul berikutan ketiadaan pemakluman awal daripada pihak sekretariat.
“Saya (berjumpa) dengan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum majlis itu dan benar, beliau pun terkejut kerana tidak dimaklumkan oleh sekretariat mengenai pengumuman calon itu.
“Bagaimanapun, ini masalah yang akan kami selesaikan. Ya, kami akan adakan perbincangan sebelum 31 Okt,” katanya selepas merasmikan Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Bagan Datuk 2026 di Bagan Datuk hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan MCA bahawa parti itu tidak dimaklumkan mengenai majlis pengumuman calon yang berlangsung malam tadi.
Ahmad Zahid ketika mengulas dakwaan senarai calon berkenaan belum mendapat perakuan kepimpinan tertinggi MCA berkata perbincangan awal diserahkan kepada Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama pucuk pimpinan MCA negeri.
Beliau berkata ruang rundingan masih terbuka sekiranya terdapat calon yang tidak dipersetujui, memandangkan proses pengesahan watikah belum selesai sepenuhnya.
“… dan ada peluang lagi kalau calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah. Jadi, terserah kepada Presiden MCA untuk melakukannya,” katanya.
Malam tadi, Bernama melaporkan MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka ke-16 tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.
Wee dilaporkan berkata tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.
BN mengumumkan calon gabungan itu yang akan bertanding di 21 Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk dua calon MCA, iaitu penyandang DUN Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem dan penyandang DUN Kelebang Datuk Lim Ban Hong.
-- BERNAMA
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/d7e143d745a81e87bb340eb02fe0deda.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.