Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Koh: Jangan kerana nila setitik...
Diterbitkan:  Sep 3, 2008 2:53 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Permohonan maaf Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meredakan kemarahan dan ketegangan berhubung kenyataan ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang didakwa berunsur berkauman, pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Bagaimanapun, beliau mengulangi gesaannya bahawa Barisan Nasional (BN) perlu menggubal kod tatalaku dengan peruntukan tindakan disiplin yang tegas terhadap ahli-ahli parti komponen, yang membuat kenyataan berunsur perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan nasional dan BN.

koh tsu koon 100907 Menurut Dr Koh, walaupun mungkin ada yang beranggapan bahawa kenyataan Ahmad itu merupakan pandangan peribadinya dan bukan pendirian Umno, tetapi ia jelas telah mencemarkan ime Umno dan BN, lebih-lebih lagi apabila pemimpin tinggi parti dilihat tidak mengecam tindakan beliau itu.

"Ia merupakan satu lagi kes seperti perumpaan Melayu ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. BN mungkin mempunyai banyak belanga susu kerana pencapaiannya sejak lebih 50 tahun membina negara bersama rakyatnya.

"Bagaimanapun, jika terlalu banyak nila yang dibiarkan menitik, maka semua belanga susu BN akhirnya akan rosak, sehingga tidak boleh berpatah balik lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, tegas beliau, BN sendiri dan semua parti komponennya perlu tegas dan cepat menangani tindakan dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti itu.

"Peruntukan tindakan disiplin dalam kod tatalaku itu hendaklah berkuatkuasakan secara automatik dan serta-merta sebelum sebarang kenyataan berunsur perkauman mencetuskan reaksi negatif, yang akan mengakibat konflik yang lebih besar," katanya.

Tambahan lagi, katanya, jika kenyataan atau tindakan tersebut cukup serius, maka pada yang sama, tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil mengikut Akta Hasutan dan undang-undang berkaitan yang lain.

"Sebarang tindakan yang mengancam perpaduan nasional dan antara kaum atau keharmonian antara agama, hendaklah ditangani dengan sekeras-kerasnya," tambahnya.

Gerakan, kata Dr Koh, akan terus menggesa supaya digubal kod tatalaku itu dengan mekanisme disiplin yang berkesan, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang akan datang.

ADS