Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP tolak kemasukan MP BN kerana wang, kuasa
Diterbitkan:  Sep 8, 2008 10:22 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

DAP tidak akan menerima kemasukan mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ke dalam pakatan pembangkang sekiranya kemasukan mereka itu adalah semata-mata disebabkan faktor wang dan kuasa.

lim kit siang 01 Penasihatnya Lim Kit Siang berkata parti itu hanya akan menerima kemasukan wakil-wakil rakyat BN ke dalam Pakatan Rakyat sekiranya mereka berbuat demikian atas prinsip mahu membawa perubahan demi membela nasib rakyat, dan bukannya atas dasar perjuangan 'periuk nasi politik' mereka.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, jika wakil rakyat BN keluar daripada parti yang selama ini memerintah semata-mata disebabkan mahu mendapatkan keuntungan kebendaan, ia merupakan satu tindakan yang tidak beretika.

"Sama ada pembentukan kerajaan baru berlaku atau tidak dalam masa sembilan hari lagi, ia bergantung kepada banyak perkara, perlu tunggu dan lihat.

"Tetapi jika mereka (wakil rakyat BN) mahu keluar parti untuk mendapat keuntungan kebendaan, ia tidak beretika dan bukan prinsip yang baik. Kami tidak akan menerimanya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan penubuhan DAP cawangan Sungai Tong, Setiu dan Kampung Cina, Kuala Terengganu semalam dengan keahlian seramai 60 orang ahli.

Parti itu pernah membuka cawangannya di Kelantan pada tahun 1990, namun berkubur pada tahun 2002 ekoran kurang penerimaan daripada masyarakat setempat.

ADS