Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Peguam: Ramlang nafi liabiliti

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi menafikan sebarang liabiliti terhadap permintaan pegawai Datuk Seri Najib Razak supaya beliau meminta maaf secara terbuka untuk membersihkan namanya, kata peguamnya, Ahmad Nizam Hamid..

Khamis lalu, Prof Madya Khairil Annas Jusoh dilaporkan berkata, barisan peguamnya mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ramlang dan dua lagi akhbar pro-pembangkang popular kerana mendakwanya mengatur sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Khairil Annas dilaporkan berkata, kenyataan Ramlang melalui temuramah dan artikel yang disiarkan itu, adalah amat tidak bertanggungjawab.

Khairul Annas merujuk kepada laporan "Najib dalang sumpah-Imam Ramlang Porigi" yang diterbitkan oleh Suara Keadilan edisi 27 Ogos lalu, rakaman video temuramah imam muda itu dengan Suara Keadilan Online (25 Ogos) dan artikel "Siapa malu besar di Permatang Pauh" (mingguan Siasah edisi 31 Ogos).

Ahmad Nizam bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu buat masa sekarang.

“Tidak ada surat (dari Khairil Annas). (Kita) tidak dihubungi. Jadi, tiada komen,” katanya.

Bagaimanapun, beliau akan berhubung dengan Suara Keadilan sebagai sumber utama berita itu.

Ramlang menjadi tumpuan ramai apabila beliau muncul di pentas ceramah Pakatan Rakyat sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh untuk memperjelaskan mengenai kehadiran di majlis sumpah Mohd Saiful yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.