BERITA

29 pemimpin BN di NS sertai PKR

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Sep 2008, 7:56 pagi

Seramai 29 pemimpin cawangan dan bahagian parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk seorang timbalan ketua bahagian Parti Progresif Penduduk (PPP), telah menyertai PKR Negeri Sembilan hari ini.

Seramai 19 pemimpin PPP di peringkat dewan undangan negeri (DUN) di Parlimen Teluk Kemang, yang diketuai oleh timbalan ketua bahagian PPP Teluk Kemang, S Karupusammy, menyerahkan borang keahlian kepada pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abas dalam satu majlis di Seremban pagi tadi.

Turut menyertai PKR hari ini ialah tujuh pemimpin cawangan dan ahli jawatankuasa (AJK) MCA bahagian Seremban, Teluk Kemang, Jempol dan Kuala Pilah.

Selain mereka, tiga AJK cawangan Pemuda Umno di Rembau dan Kuala Pilah, turut berbuat demikian.

Setiausaha PKR Negeri Sembilan, Sabaruddin Mohd Yassin berkata, parti itu mengalu-alukan kemasukan mereka bagi menguatkan kedudukan parti itu di negeri tersebut.

"Kita mengamalkan sikap tangan terbuka dan menggalakkan sesiapa sahaja untuk menyertai PKR.

"Kemasukan Karupusammy penting kerana kekuatan PPP Negeri Sembilan ialah di bahagian Teluk Kemang.

"Berikutan itu, kita menjangka sebahagian besar daripada 2,000 ahli PPP Teluk Kemang, akan menyertai PKR tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengakuan pemimpin berkenaan, lebih ramai ahli ketiga-tiga parti komponen BN itu akan menyertai PKR.

Sabaruddin berkata, kemasukan ahli Umno melalui bahagian PKR di Negeri Sembilan amat menggalakkan.

"Jumlahnya ramai sehingga membimbangkan pemimpin Umno termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.