Tangkapan ISA No. 2: Wartawan Sin Chew ditahan

   

Wartawan Sin Chew Daily , Tan Hoon Cheng telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada jam 8.30 malam ini di rumahnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

tan hoon cheng 04 120908 Beliau merupakan orang kedua ditahan selepas editor Malaysia Today , Raja Petra Kamarudin, ditahan tengahari tadi di bawah ISA yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara.

Tan (foto) telah dibawa ke ibupejabat polis Pulau Pinang di mana terdapat 100 orang penyokong berhimpun di situ.

Tan adalah wartawan pertama yang melaporkan kenyataan pemimpin, Datuk Ahmad Ismail yang didakwa berkata kaum Cina "menumpang" di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah mengesahkan bahawa Tan ditahan di bawah ISA.

Setiausaha politik ketua menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik mengesahkan Tan telah ditahan di bawah ISA.

"Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob baru mengesahkan penahanan wartawan tersebut di bawah Seksyen 73(1) ISA, kepada ketua menteri," katanya kepada pemberita di ibupejabat polis Pulau Pinang pada kira-kira jam 10.45 malam ini.

Seksyen 73(1) membolehkan polis menahan Tan untuk tempoh maksimum 60 hari untuk siasatan. Selepas itu, berdasarkan kepada hasil siasatan tersebut, beliau boleh ditahan selama dua tahun di bawah Seksyen 8 akta yang sama.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye turut berada di ibupejabat polis Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat mengenai penahanan Tan. Beliau juga mengesahkan bahawa Tan telah ditahan di bawah ISA.

Beliau mengecam penahanan Tan, sambil menegaskan bahawa polis sepatutnya menyiapkan segera siasatan terhadap wartawan itu secepat mungkin dan membebaskannya.

Tan ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman.

MCA sedia membantu

Sementara itu, dalam reaksinya, Gan Ping Sieu dari biro undang-undang MCA turut mengesahkan penahanan Tan (foto) di bawah ISA.

"Wartawan tersebut sepatutnya dipanggil untuk disoalsiasat dan bukannya ditahan," katanya.

Beliau lmengecam kerajaan kerana bersikap dwi-standard, sambil menambah bahawa penahanan itu merupakan satu tamparan kepada amalam demokrasi.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menunjukkan beliau tidak cekap dalam menangani isu 'menumpang' itu dalam tempoh dua minggu yang lalu dan membiarkan keadaan menjadi semakin tegang.

"Beliau telah kehilangan keyakinan rakyat. Demi kepentingan negara, beliau perlu meletak jawatan," tambah Gan.

Menurutnya, biro tersebut bersedia untuk menubuhkan sepasukan peguam untuk memberi khidmat sukarela untuk membela Tan.

bm version internal security act section 73 subsection 1 isa 120908 Laporan Tan telah mencetuskan kontroversi dan bantahan di seluruh negara, menyebabkan Umno telah mengantung Ahmad selama tiga tahun, dalam satu menyuarat khas Majlis Tertinggi parti itu Rabu lalu.

Tiga hari lalu, Sin Chew telah mempertahankan Tan, yang didakwa oleh Ahmad telah menyalahlaporkan komennya itu.

Tan, lulusan ijazah komunikasi massa dari Universiti Sains Malaysia (USM), sudah berkhidmat sebagai wartawan selama sembilan tahun.

Beliau telah berkhidmat dengan Sin Chew sejak empat tahun lalu. Sebelum itu, Tan bertugas di akhbar Kwong Wah daily.

Sin Chew melaporkan lewat malam ini bahawa Tan telah menghubungi peguam akhbar berkenaan sebelum dia ditahan.

Tan memberitahu peguam tersebut bahawa polis berada di luar rumahnya dan memintanya mengikut mereka ke balai polis untuk disoalsiasat di bawah ISA.

Akhbar itu melaporkan bahawa Tan tidak dapat dihubungi lagi selepas dia membuat panggilan telefon tersebut.

"Kami tidak dapat menghubungi Tan melalui telefonnya, rakan-rakan kami di Pulau Pinang berusaha mencarinya di seluruh Pulau Pinang untuk mengetahui lokasinya.

"Kira-kira sejam kemudian, beliau disahkan sedang ditahan di balai polis Bukit Mertajam," lapor akhbar tersebut.

Tidak dapat dipastikan sama ada Ahmad yang tetap enggan memohon maaf terhadap kenyataan yang dibuatnya itu, walaupun digantung tiga tahun oleh Umno, juga turut ditahan.

Pemimpin PAS, Mujahid Yusuf Rawa, yang turut berada di balai polis tersebut berkata, Ahmad yang sepatutnya ditahan di bawah ISA dan "bukannya wartawan yang melaporkan apa yang dikatakannya".

Malaysiakini
terkini untuk anda