Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ISA: Teresa Kok turut ditahan
Diterbitkan:  Sep 12, 2008 11:59 PM
Dikemaskini: 7:14 PM

Pemimpin DAP, Teresa Kok turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini.

Beliau merupakan orang ketiga ditahan hari ini di bawah ISA, selepas editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

federal territory round table retrieat 170408 teresa kok Difahamkan, ahli Parlimen Seputeh itu ditahan pada kira-kira jam 11.18 malam ini.

Beliau yang juga exco kerajaan Selangor ditahan ketika pulang daripada menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.

Teresa yang setiausaha organisasi kebangsaan DAP, ditahan selepas kenderaan yang dinaikinya dihalang oleh tiga kereta peronda polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan Teresa mengikut Seksyen 73 (1) ISA.

Menurut pemimpin DAP, Lim Kit Siang, tiga kereta polis bersama 10 anggota menahan Teresa di pintu masuk kondominiumnya .

Katanya, Teresa baru pulang daripada menghadiri satu majlis festival kuih bulan di pejabatnya di kawasan pilihanrayanya.

Kontroversi azan

Teresa menjadi tumpuan laporan media - terutama akhbar harian berbahasa Melayu - selepas timbulnya dakwaan bahawa beliau telah meminta pegawai masjid di Kota Damansara, Sri Serdang dan Puchong Jaya supaya memperlahankan pembesar suara ketika melaungkan azan.

Kok bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Tidak dipastikan sama ada penahanannya itu ada kaitan dengan dakwaan tersebut.

Di Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mengesahkan penahanan Teresa.

Menurutnya, parti itu akan mengadakan mesyuarat tergempar esok untuk membincangkan perkara tersebut.

lim guan eng vs koh tsu koon penang 080808 03 Sementara itu, Bernama melaporkan Guan Eng meminta supaya kerajaan dan polis membebaskan Tan dan Teresa.

Bercakap kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, beliau berkata, tindakan menahan mereka dilihat seolah-olah kerajaan dalam keadaan terdesak terutamanya menjelang tarikh 16 September ini, tarikh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan mengambil alih pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

"Sementara pemberita berkenaan hanya menjalankan tugasnya dan tidak sepatutnya beliau dipersalahkan," katanya.

Kira-kira 100 pemimpin dan penyokong parti politik termasuk MCA, Gerakan dan DAP berkumpul di luar perkarangan IPK sambil menyalakan lilin sebagai tanda membantah penahanan wartawan itu.

Mereka berkumpul sejak jam 9.30 malam sebaik sahaja mengetahui mengenai penahanan Tan oleh polis Bukit Aman di rumahnya di Bukit Mertajam pada kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Beberapa pemimpin PAS juga dilihat berada di kawasan itu.

Keadaan di situ terkawal dan anggota polis Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat turut berada di bahagian dalam IPK untuk mengawal keadaan.

ADS