Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chia Kwang Chye nafi mahu bersara dari politik
Diterbitkan:  Sep 30, 2008 3:17 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Datuk Seri Chia Kwang Chye mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti Gerakan bulan depan, tetapi menafikan beliau akan bersara dari politik.

"Selepas mempertimbangkan dengan teliti dan melihat senario politik dan parti semasa, saya memutuskan untuk tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti," kata setiausaha agung Gerakan itu.

chia kwang chye "Saya akan melaksanakan tugas sebagai setiausaha agung parti, Pengerusi Persidangan Perwakilan Kebangsaan (NDC) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pemilihan sehingga 12 Oktober, hari terakhir NDC," katanya kepada Bernama hari ini.

Sejak beberapa minggu lalu, cakap-cakap politik kuat menyatakan terutamanya dalam laporan akhbar berbahasa Cina bahawa Chia sedang bersiap sedia untuk bertanding jawatan utama sama ada presiden atau timbalan presiden parti.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada ahli parti yang memberi sokongan penuh, Chia berkata beliau mengumumkan keputusannya hari ini bagi mengelakkan spekulasi berterusan bahawa beliau kini bersedia untuk mencabar pemangku Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan pemimpin lain bagi jawatan timbalan presiden.

"Saya mengumumkan keputusan ini beberapa hari sebelum pencalonan bagi mengelakkan spekulasi mengenai kedudukan saya. Saya akan menjelaskan keputusan saya dengan terperinci kepada para perwakilan semasa NDC," katanya.

Ditanya sama ada beliau merancang untuk bersara, Chia berkata: "Saya akan terus berkhidmat kepada parti dan menyumbang ke arah pembangunan politik di negara ini."

Sama ada keputusannya untuk tidak bertanding mempunyai kaitan dengan pemilihan Gerakan Pulau Pinang, Chia yang juga bekas timbalan menteri penerangan, berkata ia tiada kena mengena.

Dalam pemilihan 21 September lalu, Chia ditewaskan oleh naib presiden Datuk Dr Teng Hock Nam, dalam perebutan jawatan pengerusi negeri apabila hanya memperolehi 156 undi berbanding Dr Teng yang mendapat 166 undi manakala seorang lagi calon, pengerusi bahagian Bukit Gelugor Cheang Chee Gooi, mendapat hanya 21 undi.

ADS