Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semua pemimpin tertinggi PAS dijangka bertemu di Langkawi bulan depan bagi meredakan pertembungan terbuka di kalangan mereka, khususnya susulan projek pertukaran kerajaan persekutuan 16 September yang diuar-uarkan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

anwar ibrahim and september 16 event Malaysiakini difahamkan sebuah hotel dekat Tanjung Malai telah ditempah untuk tujuan itu antara 7 hingga 9 November ini.

PAS pada asalnya merancang untuk mengadakan pertemuan seumpama itu pertengahan bulan ini tidak menjadi kenyataan.

Kira-kira 60 bilik yang masing-masing boleh memuatkan dua orang telah ditempah untuk program permukiman PAS itu.

Permukiman itu dilaporkan akan disertai semua anggota jawatankuasa pusat PAS dan juga Majlis Syura Ulama.

Setiausaha agungnya Datuk Kamaruddin Jaffar dipetik sebagai berkata "mesyuarat panjang ini diharapkan dapat menyatukan fikrah (pemikiran) kita kembali."

Malaysiakini setakat ini belum berjaya mendapat penjelasan lanjut beliau.

Beberapa kertas kerja dijadual dibentangkan pemimpin PAS, termasuk ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar Ogos lalu.

Isu-isu utama yang mendesak perbincangan itu dipercayai rentetan rundingan sulit barisan pemimpin tertinggi PAS dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama selepas pilihanraya umum 8 Mac lepas yang terus merebak hingga meledakkan isu kedudukan PAS bersama kerajaan Pakatan jika Anwar berjaya menjadi perdana menteri baru.

nik aziz and mustafa ali and pas Pertembungan paling menggemparkan wujud antara Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Abdul Nik Mat dengan pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali menjelang 16 September lepas, tarikh Anwar asalnya dijangka berjaya menumbangkan kerajaan BN melalui proses undi tidak percaya terhadap Abdullah.

Susulan sikap kritikal Mustafa terhadap projek Anwar dalam wawancaranya dengan Harakah seminggu sebelumnya, Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihanraya parti itu "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul serupa dengan nada presiden Umno".

Dalam kenyataannya sebagai reaksi terhadap pandangan Mustafa, Nik Aziz turut menyifatkan PAS Terengganu "telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya."

Bagaimanapun kedua-duanya telah mengadakan perjumpaan empat mata di pejabat Nik Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, tidak lama selepas itu untuk berdamai.

PAS juga mengemukakan syarat "majoriti Melayu-Muslim" (3M) ahli-ahli parlimen BN yang ingin melompat kepada Pakatan Rakyat tetapi saranan ini tetap dipertikaikan secara terbuka oleh ahli jawatankuasa pusat PAS dan juga timbalan pesuruhjaya Selangor, Khalid Samad.

Khalid, yang dianggap mewakili suara pro-Pakatan dalam PAS, juga membidas Mustafa susulan wawancara tokoh lama Terengganu itu dengan Harakah bulan lepas.

pas pkr banner being placed 140208 Bagaimanapun seorang pemimpin PAS di Kedah menyokong aliran berfikir seumpama Mustafa dengan menyifatkan ahli-ahli parti itu kini "berbadan PAS tetapi berbaju PKR".

Azizi Abdullah, yang juga sasterawan terkenal menyifatkan Nik Abdul Aziz "lebih tebal fanatiknya" terhadap penasihat PKR itu berbanding semangat mempertahankan dasar parti sendiri apabila mengkritik keras Mustafa.

"Terakhir, dari mulut ke mulut, mereka (ahli PAS) impikan peralihan kuasa melalui PKR dan apabila ada pemimpin PAS berceramah, mereka akan merungut dan membebel mulut jika pemimpin PAS mengupas soal peperangan Kubra atau nuzul Quran dalam konteks politik kini, kerana pemimpin PAS itu tidak mengulas dengan penuh semangat bagaimana peralihan kuasa dan kewibawaan Anwar menjadi pemimpin," Azizi menulis di blognya.

Beliau menambah, ahli-ahli PAS tidak lagi melaungkan takbir tetapi "reformasi" dalam ceramah-ceramah dan lebih banyak menghabiskan masa di pondok panas PKR daripada bilik gerakan PAS ketika menghadapi pilihanraya.

Terbaru, muncul isu jawab-menjawab tuduhan bahawa seorang pegawai Jabatan Teknologi Maklumat PAS berada di belakang blog Anti Husam yang menyerang naib presidennya Datuk Husam Musa dan barisan pemimpin aliran profesional yang digelar "kumpulan Erdogan" berhubung isu rundingan tertutup PAS-Umno.

Tuduhan itu diterbitkan semalam di Tranungkite.net , diusahakan oleh Dewan Pemuda PAS Dungun, laman web yang sering memuatkan perdebatan hangat dan kontroversi isu-isu dalaman parti itu.

ADS