Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyokong berat hati lepaskan PM
Diterbitkan:  Oct 8, 2008 4:03 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

kemaskini 5:08pm Sekumpulan penyokong Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhimpun di luar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur petang ini.

Ia diadakan ketika mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN - untuk mengumumkan keputusan Abdullah tidak lagi bertanding jawatan presiden Umno - sedang berlangsung di situ sejak jam 3.40 petang tadi.

abdullah badawi supporter pwtc 081008 Puluhan penyokong itu membawa kain rentang yang menggesa Abdullah terus memegang jawatan tersebut sehingga 2010 seperti pelan peralihan kuasa asal.

Kain-kain rentang tersebut berbunyi: ' Hormati peralihan kuasa, elak perpecahan lagi' , dan ' Pak Lah, teruskan perjuangan '.

Mereka turut melaungkan 'Hidup Pak Lah' dan 'Pak Lah presiden, Najib timbalan'.

Dalam mesyuarat itu, Abdullah mengumumkan keputusannya tidak mempertahankan jawatan teratas Umno dalam pemilihan Mac depan yang membawa implikasi beliau turut melepaskan jawatan perdana menteri.

abdullah badawi supporter pwtc 081008 Abdullah mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang dihadiri oleh pemimpin kesemua 13 parti komponennya.

Sejak semalam, beliau dikunjungi ramai penyokong di pejabat dan kediaman rasminya, dipercayai untuk menyatakan sokongan kepada kepemimpinannya dan mendesak beliau mengekalkan jawatan tersebut.

Kira-kira 200 orang kediaman rasminya di Putrajaya selama tiga jam sehingga 2 pagi tadi.

Lebih 30 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di depan perkarangan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana sejak jam 7.15 pagi bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Abdullah.

Menurut laporan media, mereka antaranya Alumni Kelab Umno Luar Negara, Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti (PERKIP) dan Pekida.

Abdullah bagaimanapun tidak dilaporkan tidak akan mengubah pendiriannya untuk tidak bertanding lagi seperti keputusan Majlis Tertinggi (MT) bulan lepas.

Beliau dilaporkan mengambil "keputusan muktamad" meninggalkan jawatan presiden pada Jumaat lepas selepas mengambil pandangan penasihat-penasihat kanannya, teman-teman dan penyokongnya.

ADS