BERITA

BN tarik balik petisyen Kulim-Bdr Baharu

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Okt 2008, 5:38 pagi

dikemaskini Calon BN Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik petisyennya hari ini dengan alasan "ingin memberikan lebih tumpuan kepada isu-isu ekonomi" dan "pilihanraya semula akan memakan banyak tenaga."

"Lagi pun, satu kerusi tambahan, tidak memberikan kesan apa-apa," katanya kepada Malaysiakini .

Keputusan ini dicapai beberapa hari lepas hasil perbincangan pemimpin BN, katanya.

bm version bandar kulim bharu kedah parliament seat results 180708 Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini membatalkan petisyen itu selepas keputusan mendadak calon BN itu.

Mengulas desas-desus wakil rakyat PKR kawasan itu Zulkifli Nordin akan menyertai Umno, Abdul Aziz berkata beliau tidak tahu tentang perkara tersebut.

"Tetapi saya juga ada mendengar khabar angin itu," katanya.

Zulkifli terlibat membantah penganjuran forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam awal Ogos lalu.

Penglibatannya menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontra sehingga dihadapkan ke jawatankuasa disiplin PKR pada 6 September.

Bagaimanapun, sebarang keputusan belum dibuat hingga kini.

Desas-desus mengatakan beliau akan menyertai Umno kerana tidak berpuas hati berhubung tindakan parti itu, yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Aziz, ditanya sama ada keputusan beliau menarik balik petisyen itu akan menyebabkan kerugian bagi Umno dan dirinya, beliau berkata:

“Saya cuma hilang satu peluang. Bagaimanapun, di hujungnya, rakyat akan buat keputusan.”

Beliau yang juga ketua bahagian Umno Baling mendakwa masih mempunyai tanggungjawab dan tugas yang sama seperti Zulkifli walaupun tidak menjadi wakil rakyat.

"Saya ada pusat khidmat masyarakat (di Baling). Saya masih bekerja macam biasa, cuma tidak menjadi ahli parlimen sahaja," katanya.

Sementara itu, peguam Zulkifli, Aaqbal Shiffudin Adnan Sallehudin berkata pihaknya gembira dengan keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, peguamnya itu belum mendapat maklum balas daripada anak guamnya.

Ahli parlimen itu tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Malaysiakini

gagal mengubunginya untuk mengulas perkembangan terbaru petisyen itu.

April lepas, Abdul Aziz menfailkan petisyen bantahan kepada Zulkifli atas alasan lawannya itu telah gagal mengemukakan kenyataan perbelanjaannya sewaktu kempen pilihanraya umum 2004.

Mengikut akta pilihanraya, setiap calon yang tidak mengemukakan kenyataan perbelanjaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya seterusnya.

Pada 2004, Zulkifli bertanding kerusi parlimen Kuala Langat di Selangor tetapi kalah kepada calon BN dari Umno, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh.

Dalam petisyennya, Abdul Aziz juga mendakwa bahawa pegawai pengurus pilihanraya telah gagal bertindak terhadap Zulkifli walaupun mempunyai dokumen yang mengesahkan kegagalannya mengemukakan kenyataan perbelanjaannya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.