BERITA

Umno Tanah Merah buat laporan polis

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Okt 2008, 2:31 tengahari

Umno Bahagian Tanah Merah hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku jawatankuasa pemantau perhubungan Umno Kelantan yang mengendalikan persidangan Umno cawangan di bahagian itu, baru-baru ini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tanah Merah jam 1.20 tengah hari kerana membantah tindakan jawatankuasa berkenaan yang disyaki cuba menyembunyikan fakta mesyuarat, seolah-olah cuba menipu bahagian dalam urusan mesyuarat pemilihan cawangan diadakan.

Setiausaha Umno bahagian itu, Amran Abdul Rahman berkata berdasarkan kepada perjanjian, jawatankuasa itu akan menyerahkan laporan mesyuarat selepas dua hari setiap persidangan cawangan diadakan.

"Bagaimanapun sehingga hari ini, laporan yang dijanjikan tidak diserahkan, sebaliknya ia diserahkan kepada pihak lain yang tidak berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Menurut Amran sebelum persidangan cawangan bermula dari 4 Oktober hingga 10 Oktober lalu, jawatankuasa tersebut, yang dipengerusikan oleh pegawai khas kepada pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaakub bersetuju untuk menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada bahagian.

Bagaimanapun, katanya sehingga hari ini laporan yang diminta untuk simpanan bahagian, tidak diserahkan.

"Yang peliknya, jawatankuasa terbabit menyerahkan laporan itu kepada pihak lain sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan media pada 11 Oktober lepas," katanya.

Beliau yang mengesyaki ada unsur-unsur penipuan, meminta siasatan dibuat bagi menentukan kesahihan mesyuarat diadakan dan mendapatkan laporan lengkap keputusan persidangan yang diadakan.

Ketua Polis Tanah Merah, Supt Abdul Aziz Mahmud ketika ditemui, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.