Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IPTA disaran wujud kokurikulum jelas kontrak sosial
Diterbitkan:  Oct 21, 2008 3:46 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Universiti-universiti disaran supaya mewujudkan satu kokurikulum baru bagi memperjelaskan isu berhubung kontrak sosial yang sering menjadi perhatian pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penjelasan kepada generasi muda khususnya pelajar universiti adalah penting bagi mengelak kekeliruan di kalangan mereka.

"Yang penting bukan mempersoalkan kontrak sosial tapi penjelasan supaya mereka faham apa itu kontrak sosial khususnya di kalangan generasi muda, kerana bukan semua faham mengenai kontrak sosial ini.

"Oleh itu penjelasan dengan kaedah yang sesuai dan mengaitkannya dengan sejarah negara adalah penting," Naib Presiden Umno itu kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Politik Melayu-Islam Kemelut dan Penyelesaian' di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang hari ini.

Ceramah anjuran Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) dan Yayasan Nurul Yaqeen itu dihadiri oleh para pelajar dan tenaga pengajar USM, demikian menurut laporan Bernama.

Selain itu katanya para pensyarah di universiti perlu memainkan peranan penting dalam memberikan penjelasan berkaitan dengan kontrak sosial.

"Penjelasan yang berkesan penting kerana apabila pelajar ini keluar dan bercampur dengan masyarakat, mereka akan mudah memahami konsep demokrasi dan perlembagaan Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata isu kontrak sosial sebenarnya sudah lama selesai dan ia harus diterima oleh semua pihak.

ADS