BERITA Malaysiakini

Zaki rasmi ketua hakim negara

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, berkuatkuasa 18 Oktober lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, baginda berkenan dengan pelantikan tersebut atas nasihat beliau dan selepas mengadakan rundingan dengan Majlis Raja-Raja.

"Baginda turut berkenan dengan pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Arifin Zakaria sebagai Hakim Besar Malaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdullah berkata, kesemua pelantikan itu turut berkuatkuasa pada 18 Oktober lalu, demikian menurut Bernama .

Katanya, pihak Mahkamah Persekutuan kini sedang berurusan dengan Istana Negara untuk menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia para hakim berkenaan.

Hirarki badan kehakiman

Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad bersara wajib pada minggu lepas.

Sementara itu, pelantikan Zaki menepati ramalan dan jika diukur daripada hirarki badan kehakiman, selepas Abdul Hamid, dengan kedudukannya sekarang,beliau memang paling layak dilantik.

Zaki, 63 tahun, anak bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Azmi Mohamed, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada September tahun lalu dan dua bulan kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Dilahirkan pada 12 Sept 1945 di Alor Setar, Kedah, beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Anderson School, Ipoh dan English College (kini) Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Beliau mendapat pendidikan undang-undang di Linconln's Inn, London dan Barrister-at-Law pada 1969.

Selepas tamat pengajian itu, beliau memulakan karier di Jabatan Peguam Negara dari Disember 1969 hingga 1970 sebelum dilantik sebagai majistret di Kuala Lumpur pada 1970 dan setahun kemudian dinaikkan pangkat sebagai Presiden Mahkamah Sesyen di Ipoh.

Pada 1973, beliau dilantik sebagai Peguam Persekutuan di Bahagian Penggubalan dan pada 1976, dilantik Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Enggan ulas

Sembilan tahun kemudian, Zaki meninggalkan perkhidmatan kerajaan dan memasuki sektor swasta sebagai peguambela dan peguamcara di Tetuan Shahrizat, Rashid & Lee dari 2006 hingga 2007.

Beliau memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai anggota Panel Skim Projek Rumah Terbengkalai dan Panel Sukan Negara, Panel Penasihat Majlis Sukan Negara dan Pemegang Amanah Yayasan SP Setia.

Zaki juga Penimbangtara di Kuala Lumpur dan Selangor pada 2004, dan dilantik pada Suruhanjaya Diraja Inkuiri Pasukan Polis, anggota lembaga pengarah beberapa syarikat senaraian awam seperti Petronas, di mana beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit bagi tempoh lebih 18 tahun.

Pada 5 September tahun lepas, Zaki dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan pada 11 Disember tahun itu juga dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Nik Sazlina Mohd Zain dan mempunyai empat anak, Dzofrain Azmi, Razif Azmi, Azri Azmi dan Azfar Azmi.

Bercakap kepada Bernama ketika diminta mengulas pelantikan itu, Zaki berkata beliau enggan mengulas sehingga selepas angkat sumpah jawatan dan sumpah setia hakim.