Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilihan MIC ditunda ke September 2009
Diterbitkan:  Oct 31, 2008 6:03 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

MIC telah menunda pemilihan jawatan tertinggi parti kecuali jawatan presiden, ke September tahun depan, demikian menurut sumber parti itu.

Mereka mendedahkan, keputusan untuk menangguh pemilihan parti dari Jun ke September tahun depan, diambil dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC), badan pembuat keputusan parti, awal bulan ini.

Bagaimanapun, pemilihan jawatan presiden akan diadakan seperti dijadual pada lewat Februari tahun depan, kata sumber itu kepada Bernama.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, yang menerajui parti itu sejak 1979 dan berjaya mengekalkan jawatannya selama 10 penggal berturut-turut, merupakan satu-satunya calon setakat ini mengumumkan hasrat untuk bertanding semula jawatan tertinggi tersebut.

Awal bulan ini, akhbar berbahasa Tamil memetik Samy Vellu sebagai berkata beliau akan menyerahkan pucuk pimpinan MIC kepada timbalan presiden pada pemilihan parti kali ini.

Walaupun pemilihan parti lalu diadakan pada Jun 2006, namum perlembagaan MIC membenarkan CWC menangguhkan pemilihan jawatan tertinggi bagi tempoh 18 bulan. Hampir 1,500 perwakilan bahagian akan memilih timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC.

Berbanding parti politik lain di negara ini, MIC mempunyai sistem pemilihan berbeza dengan pemilihan presiden diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum pemilihan jawatan lain.

Bakal calon

Jika ada pertandingan, jawatan presiden akan ditentukan oleh pemimpin peringkat cawangan manakala pemimpin lain dalam parti pusat dipilih oleh perwakilan dari bahagian.

Jawatan timbalan presiden kali ini akan menjadi tumpuan berikutan pemerhati berpendapat bahawa calon yang bakal mengisi jawatan itu akan menerajui 650,000 ahli parti menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Ada pendapat lain menyebut Samy Vellu mungkin enggan bertanding jika beliau berjaya mencapai kata sepakat di kalangan pengaruh dalaman parti sebelum Februari tahun depan tetapi ianya mungkin tidak berlaku dengan mengambil kira cita-cita politik beberapa tokoh dalam barisan kepimpinan parti.

"Keadaan tidak jelas sama sekali ketika ini. Tiada siapa tahu apa yang dalam fikiran Samy Vellu. Ianya semua merupakan permainan teka-teki. Hanya masa akan menentukan siapa yang mendapat sokongannya sebagai calon timbalannya, itu pun jika dia memilih sesiapa," kata veteran parti dan bendahari agung MIC Tan Sri M. Mahalingam.

Ramai dalam parti, tanpa menyuarakan hasrat masing-masing, mahukan Samy Vellu berundur dan biar proses demokrasi menjadi penentu. Bagaimanapun, pandangan itu ditolak oleh pemimpin berusia 72 tahun itu yang menyatakan beliau tidak mahu meninggalkan parti dalam keadaan kucar-kacir ekoran pertikaian dalaman selepas pemergiannya.

Sama seperti parti komponen BN yang lain dalam Semenanjung, MIC mengalami kekalahan teruk apabila hanya tiga daripada sembilan calon kerusi Parlimen memang pada pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Tiga calon yang berjaya tersebut ialah Datuk Dr S. Subramaniam (Segamat), yang juga Menteri Sumber Manusia dan juga setiausaha agung parti, Datuk M Saravanan (Tapah), Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Ketua Penerangan MIC dan Datuk S K Devamany (Cameron Highlands), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Calon berpotensi

Dr Subaramaniam dilihat sebagai calon berpotensi untuk memegang jawatan timbalan presiden. Pemerhati parti juga menjangka calon lain akan bersaing merebut jawatan timbalan presiden iaitu bekas timbalan presiden, Datuk S Subramaniam, penyandang Datuk G. Palanivel dan penyandang naib presiden Datuk S Sothinathan.

Difahamkan Dr Subramaniam akan hanya bertanding jawatan nombor dua parti dengan restu Samy Vellu manakala tiga yang lain sedang mengamalkan taktik "tunggu dan lihat".

Samy Vellu, antara pemimpin parti komponen BN paling lama, pernah berkata selepas kekalahannya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya umum lalu, bahawa beliau tidak akan memihak mana-mana calon dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

Sejak dua dekad lalu, sudah menjadi kebiasaan dalam parti untuk presiden mengeluarkan senarai barisan calon pilihan untuk kedudukan jawatan parti pusat dan amalan ini, mendakwa beberapa pihak, telah "membunuh demokrasi" dalam parti itu.

Dalam pemilihan lalu, Samy Vellu secara terbuka menyokong Palanivel untuk menumbangkan timbalan presiden Subramaniam, yang memegang jawatan itu selama 27 tahun.

Dalam usaha memperkukuhkan parti itu, Samy Vellu sudah "berdamai" dengan Subramaniam dengan syarat presiden MIC itu tidak akan memihak mana-mana calon khususnya bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan akan datang.

"Dia (Samy Vellu) membentuk Palanivel untuk menewaskan Subramaniam (yang lebih dikenali sebagai Subra). Kini kedua-dua mereka berada di pihak masing-masing. Di samping itu, beliau mempunyai Dr Subramaniam sebagai menteri penuh. Bagi menambah saingan, Sothinathan, naib presiden yang meraih undi paling tinggi pada pemilihan lepas turut mensasarkan jawatan timbalan presiden.

Generasi muda

"Namun begitu, sesiapa pun tidak dapat menolak kemunculan calon muda seperti Saravanan yang dilihat oleh masyarakat sebagai perubahan angin dalam parti.

"Pemimpin muda seperti dia dan beberapa lagi kini bersedia dan mereka mempunyai idea yang mereka rasa relevan kepada generasi muda dan mengikut kesesuaian trend politik semasa," kata S Ananthan, bekas setiausaha politik Samy Vellu.

Bagaimanapun, Ananthan berkata sudah tiba masa untuk MIC melakukan perubahan dengan bukan menerusi proses penjenamaan semula tetapi reformasi dalaman iaitu perubahan pemimpin.

"Jika anda lihat, kesemua calon barisan, mungkin ia Samy Vellu, Subra, Palanivel atau juga Sothi (nathan) merupakan nama-nama lama. Keputusan pilihanraya umum memaklumkan kepada MIC bahawa mereka perlu mempelajari banyak pengajaran di sebalik mengikuti cara lama. Mengeluarkan senarai calon pilihan akan memusnahkan parti.

"Masyarakat kaum India mahu menyokong MIC tetapi parti itu sendiri perlu berubah dengan cara pengurusannya. Ia perlu menawarkan sesuatu kepada masyarakat India. Ia merupakan sesuatu yang sukar dan penduduk India mahu parti itu menunjukkan bahawa ianya sudah berubah," kata Ananthan.

Pendapatnya adalah berasas berikutan pengundi keturunan India berpaling tadah kepada BN pada pilihanraya umum lepas dengan memberi pelbagai alasan dan MIC harus menyalahkan diri sendiri atas wujudnya keadaan tersebut.

Sokongan masa depan kaum India untuk parti itu bergantung kepada pucuk pemimpin parti pada pemilihan akan datang kerana pemimpin yang dipilih nanti merupakan barisan akan membawa parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

ADS