Umno bahagian Larut hari ini menolak pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainudin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat, untuk bertanding jawatan ketua bahagian itu.
Ketua Umno Bahagian Larut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata keputusan itu diambil kerana Hamzah (foto) yang juga ahli Parlimen Larut, baru menjadi ahli di bahagian itu April lalu, sedangkan pekeliling Umno mengesahkan hanya ahli yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Disember 2007 digunakan untuk mesyuarat kali ini.
"Mesyuarat bahagian yang diadakan hari ini secara konsensus menolak pencalonan beliau...ini soal keadilan, prinsip," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bahagian itu di Ipoh hari ini.
Raja Ahmad yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah berkata, mesyuarat hari ini memutuskan untuk memohon penangguhan bagi persidangan perwakilan bahagian itu yang dijadualkan Ahad depan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
"Kami akan maklumkan keputusan ini kepada badan Perhubungan Umno Perak dan Majlis Tertinggi (MT) selain mengemukakan permohonan penangguhan mesyuarat ekoran beberapa masalah teknikal," katanya.
Menurut Bernama, Raja Ahmad menerima 28 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya manakala timbalannya Datuk Mohamad Daud Yussof dan Hamzah masing-masing menerima 33 dan 22 pencalonan untuk merebut jawatan itu.
Bahagian berkenaan mempunyai 97 cawangan tetapi pencalonan daripada 14 cawangan telah ditolak kerana mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan bahagian.
Raja Ahmad berkata masalah berkenaan telah dimaklumkan kepada badan perhubungan Umno Perak, Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Hamzah juga telah mengumumkan secara terbuka tidak akan bertanding," katanya.
Pengerusi badan perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata Umno Perak menyerahkan kepada MT dan Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan berhubung isu itu.
Perkara itu telah dibincangkan oleh Umno Perak yang memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada MT untuk diputuskan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Deepavali MIC Perak di Ipoh.
