BERITA Malaysiakini

M'sia tetap iktiraf Kosovo

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Malaysia tetap dengan pendiriannya yang mengiktiraf Kosovo sebagai negara berdaulat walaupun tidak dipersetujui oleh Serbia, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Malaysia, katanya, akan bersahabat dengan mana-mana negara yang merdeka dan mempunyai perlembagaan sendiri.

"Walaupun Serbia tidak setuju, pendirian kita tidak berubah. Ini selaras dengan pendirian 51 buah negara lain di dunia termasuk Amerika dan sebahagian negara-negara Eropah," katanya selepas merasmikan penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia di sini hari ini.

Bernama melaporkan Rais mengulas tindakan Serbia mengusir Duta Malaysia ke negara itu Datuk Saw Ching Hong ekoran keputusan Malaysia mengiktiraf Republik Kosovo sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Beliau berkata tindakan Serbia itu tidak membawa kesan buruk kepada negara kerana urusan yang mempunyai kepentingan Malaysia dan Serbia sama ada daripada segi komunikasi atau perdagangan terlalu sedikit.

"Bilangan pelajar dan usahawan di sana juga sangat sedikit termasuk empat orang kakitangan pejabat kedutaan Malaysia, dan mereka akan diberi perlindungan diplomasi," katanya.

Rais berkata status Saw di Serbia sekarang adalah "persona non grata" dan beliau akan pulang ke tanah air sehingga wujudnya faktor-faktor yang boleh menghidupkan semula hubungan diplomatik dengan republik itu.

Mengenai lebih 30,000 rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh di United Kingdom yang diarahkan pulang, Rais berkata negara itu sedang menggubal semula undang-undang imigresennya dan akan menguatkuasakannya awal tahun depan.

Beliau berkata Britain akan mengenakan syarat-syarat baru terhadap pelajar, guru, dan pekerja mahir yang mungkin akan menyukarkan peluang pendidikan dan pekerjaan rakyat Malaysia di sana.

"Saya akan memaklumkan huraian lanjut mengenai hal ini kepada Kabinet minggu ini, dan langkah-langkah untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai akan dilakukan bersama Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Mengenai pembebasan penganalisis politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, Rais berkata kerajaan Mongolia masih belum menghubungi kementerian itu.

"Jika mereka menghubungi kita, kita akan bantu dalam memberi maklumat, tetapi tidak akan membantah keputusan mahkamah," katanya.