mk-logo
Berita
SPR: Jawapan PM 'tidak masuk akal'
Diterbitkan:  Nov 7, 2008 11:41 AM
Dikemaskini: 11:44 AM

Jawapan perdana menteri berhubung kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan kesahihan status lebih 11,000 pemilih yang menggunakan kad pengenalan lama "tidak masuk akal", kata ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Tambahnya, SPR sudah mempunyai satu sistem perisian canggih seperti SPINTRA untuk memastikan kesahihan nama dalam daftar pemilih dan pilihanraya dijalankan dengan telus, adil dan bebas kerana belanjawan besar diperuntukkan untuk itu dalam Bajet 2009.

Fuziah membidas penjelasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap soalan lisannya semalam.

Perdana menteri berkata "status dan perkembangan mengenai 11,842 pemilih (tercatat dalam daftar pemilih 2004) yang menggunakan kad pengenalan lama yang belum dapat dikesan sehingga kini."

Wakil rakyat PKR itu mendakwa terdapat bukti kukuh di kawasan parlimennya yang "menunjukkan SPR telah melakukan penipuan daftar pemilih".

"Beberapa kes yang melibatkan pemilih yang berumur lebih 100 tahun dan yang telah meninggal dunia telah dikeluarkan daripada daftar pemilih sewaktu pembersihan daftar pemilih hujung tahun 2006, akan tetapi nama pemilih tersebut telah dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih yang digunapakai dalam pilihanraya umum ke-12 Mac lalu," katanya.

"Kad pengenalan baru diwujudkan (direka) seolah-olah si mati (nama pada daftar pemilih) lahir pada 1985, sedangkan berdasarkan kad pengenalan lama, beliau lahir pada 1885," tambahnya.

Ahli parlimen itu mempersoalkan peruntukan kerajaan kepada SPR sedangkan, menurutnya, ia masih belum dapat menjamin ketelusan pilihanraya.

"Saya menyeru agar integriti SPR dikembalikan supaya dapat bertindak sebagai badan yang bebas, dan bukan lagi menjadi boneka Barisan Nasional dengan mengorbankan harapan seluruh rakyat Malaysia dalam memacu masa depan Negara," kata Fuziah.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini