Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu mengesahkan bahawa kelewatan operasi Giant di Kerteh lebih sebulan disebabkan gagal melepasi aspek keselamatan kebakaran yang ditetapkan.

Pengarahnya Pauzan Ahmad berkata, berdasarkan pemeriksaan jabatan itu September lalu, didapati sedikit aspek keselamatan belum dipatuhi.

"(Giant) belum patuh sedikit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 28 Oktober lepas, Malaysiakini mendedahkan Giant gagal beroperasi di Mesra Mall lebih sebulan akibat gagal mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), didakwa akibat campur tangan menteri besar Datuk Ahmad Said.

Sumber di Giant sebelumnya bagaimanapun mendakwa ia telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan untuk menjalankan operasinya termasuk mendapat pengiktirafan keselamatan daripada jabatan bomba dan mengikuti garis panduan pengubahsuaian bangunan MPK.

Usaha menghubungi pihak pengurusan Giant hari ini, belum berhasil.

Sambil mendakwa aspek pemeriksaan itu rumit diterangkan, Pauzan berkata: "kalau berlaku kebakaran, macam mana kita hendak pastikan orang yang ada selamat?"

Pengesahan keselamatan premis daripada jabatan bomba syarat utama bagi majlis perbandaran memberikan lesen operasi sesuatu premis perniagaan.

Pauzan berkata, dalam perniagaan besar seperti Giant, ibu pejabat negeri dan bomba di kawasan-kawasan akan terlibat bersama ketika pemeriksaan dilakukan.

Dalam sidang media minggu lepas, menteri besar dilaporkan menyatakan Giant "tidak boleh buka dulu, baru buat permohonan."

Ahmad malah menggesa media mendapatkan maklum balas daripada pegawai tinggi GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pemilik pasar raya besar, sebelum memberikan ulasan lanjut.

Mesra Mall, dibangunkan di atas tanah seluas 12 hektar dan diurus oleh Suria KLCC Sdn Bhd, telah dirasmikan oleh exco pembangunan luar bandar, usahawan dan koperasi Datuk Mohamed Awang Tera pada 10 Oktober lepas.

Difahamkan Giant merupakan penyewa utama kompleks membeli-belah yang diberikan jolokan "mutiara timur anda."

Menurut pelan lantai pusat membeli-belah itu, Giant ditempatkan di penghujung kanan dan kiri bahagian depan kompleks itu.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS