Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokong Shahrizat: 10 bahagian di P Pinang sedia jumpa PM

Bahagian-bahagian Wanita Umno di Pulau Pinang sedia memberi penjelasan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengapa mereka mahu Tan Sri Rafidah Aziz menyerahkan kuasa pada bulan Mac tahun depan.

Ketua Wanita Umno bahagian Kepala Batas, Zabariah Wahab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam berkata, ini kerana sembilan bahagian Wanita mencalonkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding jawatan ketua Wanita.

Wanita Umno Pulau Pinang mempunyai 13 bahagian. Perdana menteri adalah ketua Umno bahagian Kepala Batas.

Rata-rata, katanya, ahli Wanita mempertikaikan tindakan Rafidah yang mahu menyerahkan jawatan pada bulan Mac dan membiarkan Shahrizat sebagai pemangku.

"Ini yang kita tidak setuju. Mengapa Rafidah mahu memegang jawatan ketua Wanita Umno selama tiga bulan.

"Beliau perlu memberi ruang kepada orang baru untuk menjadi ketua Wanita Umno. Kalau boleh jangan ada pertandingan.

"Pendirian Wanita bahagian ialah Rafidah tidak boleh menunggu sehingga bulan Jun untuk menyerahkan jawatannya.," katanya ketika dihubungi hari ini.

‘Pak Lah tak campur'

Bagaimanapun, Zabariah berkata, Abdullah tidak pernah mencampuri urusan Wanita Pulau Pinang.

Katanya, Wanita Umno bahagian Kepala Batas turut mencalonkan Shahrizat untuk bertanding jawatan ketua Wanita tetapi bukan bermakna ia kehendak Abdullah.

"Kita boleh memberi penjelasan kepada Abdullah tetapi sehingga ini Pak Lah belum mahu kami memberikan penjelasan itu.

"Malah keputusan 10 ketua Wanita bahagian Pulau Pinang menyokong Shahrizat kita tidak beritahu kepada Abdullah," katanya.

Semalam 10 ketua Wanita bahagian mengadakan sidang media tidak setuju dengan pelan peralihan kuasa pergerakan itu pada bulan Jun tahun depan.

Sebelum itu, ketua Wanita negeri, Datuk Jahara Hamid dilaporkan berkata, Wanita Umno Pulau Pinang menyokong pelan peralihan kuasa tersebut.

Mengulas perkara sama, Ketua Wanita Umno bahagian Batu Kawan, Rohaya Ismail berkata, akar umbi Wanita Pulau Pinang tidak mahu beliau terus menjadi ketua pergerakan itu lagi.

"Apa motif Rafidah yang mahu menyerahkan kuasa selepas tiga bulan perhimpunan agung dibuat. Mungkin beliau mahu terus jadi ketua Wanita.

"Kalau Pak Lah boleh buat (segerakan peralihan kuasa), mengapa Rafidah tidak boleh? Rafidah sudah lebih 20 tahun jadi ketua Wanita," katanya.

Penjelasan Jahara

Rohaya berkata, kenyataan Jahara bahawa seluruh bahagian Wanita menyokong pelan peralihan kuasa itu merupakan satu kenyataan peribadi.

Ini kerana, katanya, Jahara tidak pernah mengadakan perbincangan dengan ketua Wanita bahagian untuk menyokong pelan peralihan kuasa tersebut.

"Kami semua terkejut dengan kenyataan Jahara itu. Dan kami tidak tahu mengapa beliau membuat kenyatan tersebut?

"Beliau perlu faham sembilan bahagian Wanita di Pulau Pinang yang tidak menyokong Rafidah, sebaliknya mahukan Shahrizat menjadi ketua Wanita," katanya.

Sementara itu, Jahara ketika dihubungi hari ini berkata, beliau mempertahankan pendirian supaya peralihan kuasa diadakan pada bulan Jun sebagaimana yang telah ditetapkan.

Katanya, ia bagi mengelak jawatan ketua Wanita dipertandingkan dan mengelak berlaku perpecahan dalam pergerakan itu.

"Jika jawatan ketua Wanita ditandingi, pergerakan itu akan rosak, Umno akan rosak," katanya.

ADS