BERITA

GMI: Perhimpunan di MPAJ akan diteruskan

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Nov 2008, 11:13 tengahari

Pelancaran Kempen Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Ahad ini akan tetap diteruskan walaupun gagal mendapat permit polis, kata penganjurnya, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

syed ibrahim syed nor Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI kesal kerana pihaknya telah membuat "permohonan dengan baik" untuk mendapatkan permit bagi program tersebut.

"Kita akan teruskan (program tersebut). Permit ini untuk maklumkan sahaja. Polis tidak patut halang," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Polis hari ini dilaporkan menolak permohonan pihak penganjur - yang dibuat Selasa lalu - bagi mendapat permit untuk mengadakan program itu di tempat terbuka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, majlis itu boleh mengganggu ketenteraman awam dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya.

Menurutnya ACP Abdul Jalil lagi, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian dan penelitian terhadap permohonan dan aduan yang dterima dari orang ramai.

Syed Ibrahim berkata, Dewan Pemuda PAS sebagai penganjur bersamanya, akan mengerahkan pasukan Unit Amal mereka bagi memastikan perhimpunan berlangsung dengan aman dan tiada kesesakan lalu lintas.

"Kita minta kerjasama polis. Ia akan jadi perhimpunan yang baik dan aman," katanya.

Ditanya sama ada keputusan polis itu akan menjejaskan kehadiran orang ramai di majlis tersebut, Syed Ibrahim berkata: "Itu tidak tahulah. Tengok keadaanlah."

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan kempen tersebut yang akan berlangsung di Dataran MPAJ, Pandan Indah pada jam 9 malam.

Kempen anjuran gabungan NGO dan parti pembangkang itu bagi mendesak kerajaan memansuhkan ISA sebelum acara kemuncaknya dalam perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, Mac tahun depan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang dijangka turut serta dalam majlis hujung minggu ini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.