Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yoga: Rujuk Raja sebelum fatwa
Diterbitkan:  Nov 24, 2008 5:50 PM
Dikemaskini: Nov 25, 2008 2:52 AM

dikemaskini Sultan Selangor berharap sebarang keputusan fatwa pada masa depan yang menyentuh isu melibatkan masyarakat umum sebaik-baiknya dirujuk kepada Majlis Raja-raja untuk diperkenankan sebelum diumum.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ia adalah bagi memastikan supaya kaedah menyalurkan sesuatu keputusan fatwa itu dapat dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kontroversi, lapor Bernama .

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani hari ini, berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa bagi Majlis Hal Ehwal Agama Islam yang mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam, Sultan Selangor menjelaskan bahawa keputusan itu belum berkuatkuasa di negeri tersebut kerana perkara itu belum dibawa ke peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa fatwa negeri yang

dipengerusikan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, akan bersidang membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam berkenaan aktiviti senaman yoga di Selangor, dan selepas keputusan muktamad dibuat oleh jawatankuasa tersebut, ia akan disembahkan untuk perkenan baginda.

Ini selaras dengan prosedur yang diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 berkaitan dengan menerima pakai sesuatu keputusan fatwa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry

Sury berkata fatwa mengenai pengharaman senaman yoga untuk umat Islam belum diterima pakai di negeri itu tanpa perkenan Sultan

Perak.

Sambil menarik balik kenyataannya kepada sebuah akhbar seperti dilaporkan hari ini, beliau berkata selaku pengarah JAIP, adalah di luar bidang kuasa dan budi bicara beliau untuk membuat apa-apa pendirian berhubung sesuatu perkara yang menyentuh soal berkaitan agama Islam yang terletak di bawah bidang kuasa Sultan Perak.

"Fatwa tersebut belum dapat diterima pakai di negeri Perak kerana ia belum dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan dimaklumkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk selanjutnya mendapat perkenan daripada Sultan Perak," katanya kepada Bernama .

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan kenyataan Jamry bahawa Perak akan mematuhi ketetapan yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tersebut.

Jamry, yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, dilaporkan berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 9 Dis ini bagi mengumumkan secara rasmi mengenai perkara berkenaan.

Sabtu lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan mengumumkan fatwa meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan.

ADS