BERITA

Tiada tindakan terhadap Nazri

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Nov 2008, 6:38 pagi

Dewan Rakyat hari ini memutuskan untuk tidak merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas didakwa membuat kenyataan yang tidak benar dalam Dewan Rakyat.

parliament gobind singh ban over nazri mistake 251108 01 Keputusan Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu bagaimanapun dibantah keras oleh ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh, yang kemudiannya digantung selama dua hari kerana mencabar keputusan tersebut.

Dr Wan Junaidi menjelaskan bahawa beliau membuat keputusan itu berdasarkan kepada tiga faktor; pertama, sama ada kenyataan menteri itu mengelirukan; kedua, sama ada menteri sedar bahawa kenyataan itu mengelirukan, dan akhirnya sama ada jika menteri berkenaan berniat untuk mengelirukan dewan.

Mengikut Dr Wan Junaidi, walaupun kenyataan Nazri itu mengelirukan, tetapi beliau kemudian menyedarinya, dan oleh itu tidak dianggap berniat untuk mengelirukan dewan.

Oleh itu, timbalan speaker berkata kes Nazri tidak memenuhi ketiga-tiga syarat tersebut, dan beliau tidak perlu dirujukkan kepada jawatankuasa berkenaan.

karpal singh Pada 10 November pula, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan.

Beliau merujuk kepada kenyataan Nazri di Parlimen pada 6 November lalu bahawa bekas Ketua Hakim Negara, Salleh Abas dan bekas hakim-hakim kanan yang lain yang terbabit dalam krisis kehakiman pada 1988, tidak dipecat tetapi perkhidmatan mereka ditamatkan lebih awal atas perakuan sebuah panel.

'Karpal tidak puas hati'

Nazri telah pun membetulkan kenyataannya dan berkata kesemua hakim terbabit sebenarnya telah dipecat, tetapi mereka dibayar pencen.

Katanya, beliau percaya kenyataan tersebut adalah benar pada waktu berkenaan dan beliau tidak berniat untuk mengelirukan dewan.

Menurutnya lagi, beliau juga akan menerima keputusan yang akan dibuat oleh Dr Wan Junaidi.

Karpal yang sebelum ini mencadangkan supaya tindakan diambil terhadap Nazri, tidak puashati dan meminta Dr Wan Junaidi menimbang semula keputusannya itu.

Karpal berkata, timbalan speaker turut mengambil kira kenyataan yang dibuat Nazri di luar dewan, dalam membuat keputusannya hari ini.

Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai mempersendakan Dewan Rakyat dan mahu Nazri memohon maaf.

Ketika itu keadaan menjadi riuh rendah, dengan penyokong BN menegaskan bahawa timbalan speaker telahpun membuat keputusannya.

Pada masa itu, Gobind, yang juga anak Karpal, bangun dan menuduh timbalan speaker mempertahankan Nazri.

'Nazri tidak akan minta maaf'

Gobind diarahkan duduk, tetapi beliau terus berdiri.

Berikutan itu, Dr Wan Junaidi mengarahkan Gobind keluar dari dewan, tetapi ahli parlimen Puchong itu enggan berbuat demikian.

Timbalan speaker kemudian mendapatkan bantuan untuk membawa Gobind keluar dan menggantungnya selama dua hari daripada menghadiri sidang dewan.

"Dia (Nazri) yang buat salah, dan saya yang tanggung akibatnya," kata Gobind ketika berjalan keluar.

Beliau juga meminta Nazri bangun dan meminta maaf "seperti seorang lelaki".

Dr Wan Junaidi kemudiannya mengingatkan Gobind bahawa beliau berdepan dengan risiko digantung selama 10 hari jika dia masih berkeras tidak mahu keluar. Gobind kemudiannya keluar dari dewan.

Kemudiannya, Nazri memberitahu sidang akhbar bahawa beliau tidak akan memohon maaf.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.