Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Nazrin: Timbang terperinci hukum yoga
Diterbitkan:  Nov 25, 2008 6:24 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Raja Muda Perak menitahkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mempertimbangkan secara terperinci mengenai aktiviti senaman yoga di negeri itu.

Raja Dr Nazrin Shah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, bertitah sebarang keputusan jawatankuasa itu kemudiannya hendaklah dibawa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Samsul Baharin Hassan hari ini, Raja Dr Nazrin bertitah lebih teratur jika sesuatu fatwa yang melibatkan orang ramai dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja terlebih dahulu memandangkan hal-ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa Raja.

"Ia adalah selaras dengan prosedur Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 berkaitan dengan menerima pakai sesuatu fatwa," titah baginda, lapor Bernama .

Sabtu lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan amalan yoga secara sistematik iaitu yang membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan Tuhan, bertentangan dengan syariat Islam.

Sementara itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta jawatankuasa fatwa di setiap negeri mengadakan mesyuarat membincangkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai senaman yoga sebelum dipersembahkan kepada sultan untuk perkenan dan diwartakan.

"Kita dapati bukan terdapat perbezaan pandangan tetapi bagaimana fatwa itu dilaksanakan, dan oleh itu jawatankuasa fatwa negeri perlu bermesyuarat terlebih dahulu sebelum dipersembah kepada sultan," kata ketua pengarah jabatan itu Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, lapor agensi berita itu lagi.

Mengulas bantahan kaum lain mengenai fatwa pengharaman yoga itu, Wan Mohamad berkata fatwa berkenaan tertakluk kepada orang yang beragama Islam sahaja.

ADS