Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAS, AirAsia batal penerbangan ke Bangkok
Diterbitkan:  Nov 26, 2008 10:52 AM
Dikemaskini: 5:27 AM

Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengendalikan empat penerbangan setiap hari di antara Bangkok dan Kuala Lumpur, telah membatalkan penerbangan MH784 yang dijangka meninggalkan lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.10 pagi (waktu Malaysia) dan tiba pada 10.15 pagi (waktu Thailand) dan penerbangan balik MH785.

Seorang pegawai MAS berkata walaupun pihak berkuasa lapangan terbang Thailand (AOT) memberi jaminan bahawa lapangan terbang boleh dibuka pada tengah hari, baki tiga penerbangan selepas itu telah ditangguhkan kerana keadaan masih kelam kabut.

AirAsia juga turut membatalkan semua penerbangan ke Bangkok hari ini.

Menurut laporan Bernama, lapangan terbang Suvarnabhumi, pintu masuk utama Thailand telah diambilalih ribuan penyokong anti-kerajaan malam Selasa.

AOT telah memaklumkan syarikat-syarikat penerbangan bahawa lapangan terbang itu boleh dibuka walaupun timbul keraguan berikutan penyokong Pakatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) terus menghalang jalan menuju ke lapangan terbang dan mengambil alih terminal penumpang.

Ratusan polis rusuhan dan tentera tidak dapat berbuat apa-apa semasa lebih 10,000 penumpang, kebanyakannya pelancong asing bagi penerbangan jarak jauh,

yang menunggu penerbangan keluar ke Eropah, China dan Japan terkandas selepas semua penerbangan keluar dibatalkan pada 9 malam Selasa.

Ia merupakan penempatan utama kedua yang telah diambilalih oleh PAD, tiga bulan selepas mereka mengambilalih Rumah Kerajaan, pusat pentadbiran negara yang menempatkan pejabat Perdana Menteri.

Lapangan terbang bernilai AS$3.5 bilion itu yang telah dibuka pada September 2006, merupakan satu daripada lapangan terbang tersibuk di dunia yang boleh

mengendalikan 45 juta penumpang setiap tahun, 76 penerbangan sejam dan tiga juta tan kargo.

Suasana tegang dilaporkan masih berlaku di ibu negara sejak Isnin apabila PAD melancarkan usaha terakhir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Somchai

Wongsawat yang dijangka pulang ke Thailand selepas menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Peru.

Para penunjuk perasaan telah menawan lapangan terbang dalam usaha menghalang Somchai dari pulang ke tanah air tetapi beliau dijangka terbang ke Chiang Mai di mana kerajaan mempunyai sokongan kuat dan mungkin akan mengisytiharkan perintah darurat tidak lama lagi.

Sekurang-kurangnya tiga letupan bom berlaku di ibu negara hari ini yang mencederakan seorang penyokong PAD di lapangan terbang Don Muang di mana PAD menghalang semua laluan masuk ke pejabat sementara Somchai sejak Isnin, sebutir lagi meletup tidak jauh dari Rumah Kerajaan dan sebutir lagi yang menjadikan sebuah stesen radio teksi sebagai sasaran.

Beberapa pertempuran berlaku di antara PAD dan penyokong pro-kerajaan dan juga dengan pemandu teksi yang telah dihalang memasuki lapangan terbang.

PAD, yang cenderung untuk mengubah sistem politik Thailand yang memilih kepada pelantikan daripada melalui pilihan raya, meneruskan untuk menuntut pihak tentera melancarkan satu lagi rampasan kuasa untuk menjatuhkan kerajaan selepas tindakan sama pada 2006 yang menyaksikan abang ipar Somchai, Thaksin Shinawatra digulingkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS