BERITA

Pakatan cuai bersihkan anasir BN

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Nov 2008, 12:17 tengahari

kemaskini 2:22pm Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri dengan tanpa banyak alasan segera "membersihkan kerajaan negeri daripada anasir BN".

"AMK dengan ini memberikan peringatan kepada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Jangan berdolak-dalik dengan seribu satu alasan. Pembersihan kerajaan daripada anasir BN mesti dilaksanakan tanpa bertangguh," kata ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin.

shamsul pkr youth congress "Kita tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit hanya semata-mata untuk terus membolot peluang, tanpa menghayati falsafah perjuangan kita, tanpa menunjukkan komitmen untuk menghayati prinsip-prinsip perjuangan yang kita dukung."

Shamsul Iskandar mengkritik kerajaan gabungan PKR, DAP dan PAS yang didakwanya "cuai melaksanakan janji" untuk membuat pembersihan dalam pentadbiran "sehingga ke akar".

"Sekarang rakyat telah memilih kita. Rakyat mahu kita melakukan perubahan. Salah satu perubahan yang telah kita janjikan ialah untuk membersihkan kerajaan daripada kebobrokan Umno-BN.

"Kenapa setelah rakyat memberikan kita amanah, kita cuai untuk melaksanakan janji ini?" katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketua angkatan muda PKR dalam kongres tahun pergerakan itu di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

Berhubung perkara itu, beliau menambah, kebergantungan kerajaan Pakatan terhadap birokrasi kerajaan dan jentera BN hari ini "menjadi lelucon dan sesuatu yang malang".

"Pergantungan kepada birokrasi semata-mata, atau lebih malang kepada aparat-aparat BN, sudah tentu tidak memadai. Sudah barang tentu menjadi lelucon untuk kita terus membiarkan anasir-anasir BN berleluasa dan mengakar di dalam kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan.

pkr congress youth 280208 "Selama ini kita mengkritik mereka sebagai (pengamal) rasuah, khianat kepada amanah rakyat dan sebagainya.

"Kita mengambil risiko, bermati-matian menentang mereka di dalam pilihanraya kerana kita mahu menggantikan mereka dengan pemimpin yang berintegriti di semua peringkat," kata Shamsul Iskandar di depan hampir 600 perwakilan AMK.

Beliau turut mempersoalkan ahli-ahli parti itu yang diketepikan dalam jentera kerajaan negeri Pakatan dengan "alasan bukan-bukan", termasuk tiada pengalaman.

"Pemimpin-pemimpin utama PKR terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan yang sangat cemerlang. Profesor dan pakar di dalam pelbagai bidang.

"Kenapa sehingga ke hari ini mereka masih tidak diangkat memainkan peranan utama memberi sumbangan dalam perencanaan dan operasi kerajaan-kerajaan negeri?" katanya.

Dengan nada amaran, Shamsul Iskandar berkata, sekiranya terdapat pemimpin kerajaan Pakatan yang teragak-agak, takut kepada risiko dan perubahan, pergerakan itu tiada pilihan selain menggantikan pemimpin itu.

"Sekiranya ada pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pakatan teragak-agak, gentar untuk membuat perubahan, takut kepada risiko; kita tidak ada pilihan selain menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan.

"Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus," katanya.

Beliau dalam ucapannya itu bagaimanapun tidak menamakan dengan jelas pemimpin yang dimaksudkannya itu.

pkr congress youth opening Dalam sidang akhbar selepas ucapannya itu, Shamsul Iskandar menjelaskan, penyertaan AMK dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri dibuat Pakatan dapat menilai semula keberkesanan masing-masing selepas lapan bulan memerintah sejak Mac lalu.

Beliau menafikan tuntutannya itu difokuskan kepada peluang perniagaan semata-mata.

"Peluang itu saya buat (gariskan secara) umum. Bukan sekadar peluang perniagaan, (tetapi juga) peluang dalam struktur kerajaan negeri, (dan) peluang dalam institusi-institusi pendidikan.

"Peluang dalam perniagaan itu, apa masalahnya kalau ada keuntungannya kepada rakyat. Yang kita tolak, perniagaan yang ada (unsur) rasuah, penyelewengan dan korup," katanya.

Ketua AMK itu menafikan pergerakannya terpinggir dalam kerajaan-kerajaan negeri Pakatan.

"Tidak, (desakan) itu hanya penegasan AMK. Saya tidak berasa terpinggir," katanya.

"Apabila perubahan dilakukan, kita tidak boleh mengelak. Mereka (rakyat) telah memilih kita (dalam pilihanraya umum lalu). Takkan kita hendak katakan tidak boleh buat, tidak ada pengalaman. Kita kena lakukan sesuatu."

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.