Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pulau Pinang tidak bercadang membuat rombakan dalam kerajaan berikutan komen negatif terhadap timbalan ketua menterinya Mohammad Fairus Khairuddin yang tersebar meluas di laman blog sekarang, kata ketua menteri Lim Guan Eng.

"Seperti saya katakan tadi, saya tidak bercadang membuat sebarang rombakan exco Pulau Pinang buat masa ini.

pkr national congress 301108 lim guan eng pc "Saya rasa perkara yang diutarakan ini adalah di bawah bidang kuasa PKR dan saya akan menerima apa-apa keputusan yang dibuat oleh PKR," katanya dalam sidang media di kongres tahunan PKR di Shah Alam hari ini.

Beliau diminta mengulas tuduhan bahawa pemimpin nombor dua dalam pentadbiran kerajaan negeri itu berada bawah prestasi sebenar.

Selain pernah ditegur penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lepas, Mohammad Fairus turut didesak melepaskan jawatannya sebagai timbalan ketua menteri I oleh wakil rakyat BN baru-baru ini.

fairus khairuddin and penang Wakil rakyat Penanti itu, satu kerusi DUN dalam kawasan parlimen Permatang Pauh yang dikuasai Anwar, meletakkan jawatan sebagai pemimpin persatuan bola sepak negeri, selain mengugut untuk menyaman akhbar politik Siasah yang melaporkan tentang isu prestasi beliau.

Kini satu blog khas "Alahai ... Fairus TKM I Penang" dibangunkan untuk mengecam kepimpinannya dengan dakwaan Anwar sendiri gagal mengubah sikap wakil rakyat muda itu.

Mengulas lanjut, Lim berkata, penggantian Mohammad Fairus tidak perlu ditimbulkan kerana beliau tidak mendapat apa-apa pandangan daripada PKR berkaitan perkara itu.

"Saya tidak menerima sebarang tuduhan atau isyarat daripada kepimpinan parti (PKR)," katanya.

Ditanya beberapa kali tentang prestasi Mohammad Fairus, beliau berkata, kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa bergerak sebagai satu pasukan.

"Kami mahu lakukan lebih baik. Jadi, jangan terlalu berpuas hati. Kalau kata puas hati, tidak ada ruang membaiki diri. Kita ingin buat lebih baik."

Sementara itu, exco kerajaan negeri Abdul Malik Kassim ketika ditemui Malaysiakini berkata, menjadi perkara biasa wakil rakyat ditegur oleh orang ramai.

Semua orang mendapat teguran, termasuk dirinya sendiri, tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS