mk-logo
Berita
Cadangan Muhyiddin perlu kajian mendalam...

Pemimpin Umno bahagian memberi pandangan yang berbeza mengenai cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pemilihan parti itu dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian dan bukannya seperti sekarang yang terhad kepada 2,500 perwakilan di perhimpunan agung parti itu.

Ketua Umno bahagian Pendang, Datuk Rozai Shafian berkata, pemilihan di peringkat cawangan boleh dibuat apabila pengurusan dapat dipertingkatkan.

Pengurusan tersebut, menurutnya, termasuk rekod keahlian yang tersusun supaya tidak menimbulkan masalah apabila mengundi.

"Ini perkara utama yang perlu diselesaikan kerana dilaporkan ada yang dibuat secara tangkap muat sahaja.

"Ini perkara penting kerana yang hendak dipilih ialah pemimpin utama, termasuk presiden parti yang akan menjadi perdana menteri.

"Perjalanan mesyuarat juga perlu dipantau secara teliti bagi menimbulkan pelbagai masalah termasuk kesahihan pengundi," katanya ketika diminta mengulas cadangan Muhyiddin yang juga naib presiden Umno itu.

muhyiddin yasin muhyiddin yassin Muhyiddin membuat cadangan tersebut selepas merasmikan bengkel pengurusan dan pentadbiran Pemuda Umno Pagoh Johor kelmarin untuk mengatasi salahlaku dan politik wang dalam parti itu.

Menurutnya, walaupun pun cadangannya itu memerlukan pindaan perlembagaan Umno, tetapi beliau yakin cara itu boleh menangani politik wang dalam parti.

Sistem pemilihan

Sementara itu, ketua Umno bahagian Wangsa Maju, Datuk Mohd Shafie Abdullah berkata, sistem pemilihan di peringkat cawangan hanya sesuai dilakukan di kawasan bandar.

Ini kerana, katanya, banyak ahli Umno di kawasan luar bandar tidak tahu apa-apa mengenai politik Umno.

"Berapa ramai yang benar-benar kenal dengan pemimpin mereka? Mereka tidak tahu siapa yang layak menjadi pemimpin.

"Akhirnya orang lain juga yang menentukan mereka, orang yang paling mudah mempengaruhi mereka ialah ketua cawangan," katanya.

Bagaimanapun, kata ketua Umno Wangsa Maju itu, kebaikan cara tersebut ialah lebih ramai ahli parti terbabit secara langsung dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

Manakala, Ketua Umno bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihak berkenaan perlu membuat kajian secara mendalam sebelum cadangan pemilihan peringkat cawangan dilaksanakan.

"Kena kaji dulu kerana ia bukan boleh dilaksanakan dengan mudah untuk menentukan ia menepati matlamatnya iaitu menghapuskan politik wang.

"Saya bimbang politik wang boleh merebak ke peringkat cawangan pula," katanya.

Sokongan cadangan Muhyiddin

Sementara Ketua Umno bahagian Larut, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar menyokong cadangan Muhyiddin itu kerana ia boleh menghapuskan politik wang.

Katanya, dengan adanya pemilihan membabitkan pemimpin cawangan, orang tidak lagi berebut menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno.

Ini, katanya selama ini perwakilan ke perhimpunan agung sahaja yang boleh mengundi memilih penimpin utama parti termasuk presiden Umno.

"Politik wang berlaku apabila perwakilan cawangan mahu menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur.

"Maka sudah tentu ada pihak yang mahu membeli perwakilan berkenaan untuk kepentingan mereka," yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Kubu Gajah, Perak.

"Tetapi dengan pembabitan perwakilan cawangan, maka orang tidak lagi berebut hendak menjadi kumpulan tujuh (G7) untuk ke perhimpunan agung Umno," kata Raja Ahmad.

Untuk mengatasinya, Raja Ahmad berkata, ahli perlu Umno yang mahu bertanding jawatan utama parti perlu melalui peringkat tertentu termasuk menjadi pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian.

Katanya, ini kerana untuk memastikan mereka mempunyai pengalaman secukupnya sebelum menjadi pemimpin.

"Sebagai contoh, mereka perlu menjadi ahli jawatankuasa, naib dan timbalan ketua sebelum bertanding jawatan ketua bahagian.

"Dengan cara ini, orang kaya tidak boleh terus bertanding jawatan ketua bahagian sesuka hati seperti yang berlaku dalam pemilihan Umno sekarang ini.

"Seperti orang sekolah, mesti masuk sekolah rendah dahulu sebelum layak ke sekolah menengah," katanya.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini