Pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bawah Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah kewangan untuk membayar elaun berlipat-lipat kali ganda kepada ahli majlis demi melancarkan tugas mereka.
Exco kerajaan tempatan Ronnie Liu bagaimanapun menafikan PBT di negeri itu meningkatkan bayaran elaun secara mendadak untuk kegunaan peribadi ahli majlis sehingga beberapa ratus kali ganda.
"Isu kenaikan elaun ahli majlis PBT, kerajaan negeri ingin menyatakan ia tidak berlaku, kerajaan negeri hanya memberi bantuan tidak lebih RM2,500 kepada ahli-ahli majlis yang tidak mempunyai pejabat lengkap untuk menjalankan tugas mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Ronnie berkata kerajaan negeri "tidak berhadapan risiko muflis atau masalah kewangan" dengan kenaikan besar tersebut.
"Kawasan-kawasan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang mana setiap ahli majlis PBT telah diberikan kemudahan pejabat, tidak layak untuk mendapatkan bantuan (kewangan) ini," tambahnya.
Ronnie menegaskan, kerajaan Selangor akan memantau dari semasa ke semasa untuk memastikan bantuan tersebut tidak disalahgunakan.
Minggu lepas, ahli-ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dilaporkan menerima elaun bulanan sehingga RM2,500 berkuatkuasa 1 Januari, peningkatan 233 peratus daripada RM750.
Elaun baru itu untuk bayaran pejabat dan gaji kakitangan sebanyak masing-masing RM1,000 dan bil air dan elektrik (RM500).
Presiden MPS Zainal Abidin Azim dilaporkan berkata, jika ahli mahlis membelanjakan lebih daripada peruntukan tersebut, PBT berkenaan tidak akan menampung lebihannya.
