Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Laluan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk menjadi calon kerusi Kuala Terengganu menemui jalan sukar kerana beliau didakwa tidak mendapat sokongan penuh ahli-ahli jawatankuasa (AJK) bahagian berkenaan.

"Datuk Wan Ahmad sendiri yang disebut-sebut akan bertanding pun tidak mendapat sokongan penuh dari AJK bahagian.

"Beliau hanya boleh mengawal empat atau lima AJK sahaja (daripada 25 anggota), manakala yang lain tidak mendengar cakapnya," kata seorang bekas ahli jawatankuasa Kuala Terengganu, yang enggan mendedahkan identitinya.

Penggiat parti tersebut juga mendakwa beberapa kumpulan penyokong Umno dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok dan Wakaf Mempelam tidak menyokong Wan Ahmad Farid sebagai calon.

Sehubungan itu, beliau menambah, Umno bahagian kini berdepan masalah memilih calon yang sesuai untuk menerima cabaran sengit PAS.

Katanya, tidak ada calon BN yang berkaliber untuk berdepan dengan pembangkang dalam pilihanraya kecil itu, antara 6 hingga 17 Januari.

Selain Wan Ahmad Farid, timbalan ketua Umno bahagian Mohd Sabri Alwi, ketua penerangan negeri Datuk Zuber Embong, bendahari negeri Senator Datuk Roslan Awang Chik dan bekas ketua penerangan bahagian Mohd Zuber Embong turut disebut-sebut sebagai calon BN.

Kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail akhir bulan lalu.

Dalam pilihanraya umum lalu, Razali mempertahankan kerusi itu buat kali kedua setelah mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti tipis, 628 undi.

Wan Ahmad Farid disebut-sebut sebagai calon terbaik BN di Kuala Terengganu tetapi mengalami masalah sokongan di peringkat akar umbi dan penolakan terhadap kepemimpinan abangnya Datuk Wan Hisham, yang juga naib ketua bahagian.

Difahamkan senator itu mendapat sokongan daripada penyelaras-penyelaras DUN Ladang dan Batu Burok - masing-masing Wan Hisham dan Mohd Sabri, kedua-duanya penyokong kuat Wan Ahmad Farid.

ADS