Bekas pramugara syarikat penerbangan MAS yang menggemparkan negara empat tahun lalu terlepas hukuman menerbitkan cakera padat video (VCD) lucah Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau .
Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan Mohd Rizal Mat Yusuf yang didapati bersalah pada 2004 dan dikenakan hukuman penjara 18 bulan oleh mahkamah sesyen, lapor Bernama .
Hakim P Nallini mendapati hukuman tersebut sebagai "kegagalan sistem keadilan" kerana pendakwaan tidak berjaya membuktikan lelaki itu pernah membuat atau mengeluarkan VCD di No 12, Jalan Sri Banang, Taman Sri Andalas, Klang antara 1999 dan Mei 2003.
Dalam penghakimannya setebal 21 halaman, hakim berkata saksi-saksi pihak pendakwaan gagal mengaitkan antara VCD lucah itu dengan Mohd Rizal.
Tambahnya, tidak wujud hubungan langsung bahawa lelaki tersebut mengeluarkan VCD tersebut kerana bukti-bukti hanya mengaitkan beliau dengan beberapa aksi hubungan seks yang dirakamkan dengan kaset video yang dikawal oleh alat kawalan jauh.
Mohd Rizal, sewaktu membela diri, mengakui membuat rakaman babak-babak seks tersebut dengan pramugari menggunakan kamera video untuk kegunaan peribadinya.
Tambah lelaki itu, apabila hubungannya terputus dengan gadis itu, beliau berjanji memusnahkan rakaman tersebut dan tidak memindahkan kandungannya kepada VCD kerana tidak mempunyai kelengkapan untuk berbuat demikian.
Dalam rayuannya, Mohd Rizal melalui peguam bela Rakhbir Singh, berkata hakim yang mendengar kesnya gagal mengambil kira bahawa tiada bukti dikemukakan bahawa beliau pernah membuat atau mengeluarkan VCD.
Menurut agensi berita itu lagi, letika ditemui di luar mahkamah, Mohd Rizal - yang menutup mukanya dengan sapu tangan dan hanya matanya saja yang kelihatan - memberitahu pemberita yang beliau bersyukur dan lega dengan keputusan itu.
"Saya sangat bersyukur, alhamdulilah. Terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongon dan peguam saya yang telah bekerja keras.
"Selepas ini saya hendak mencari kerja baru.
"Saya tutup muka kerana sebelum ini saya dah banyak kali dibuang kerja kerana kes ini," beliau dipetik berkata.
