Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Husam longlai digertak DAP isu hudud
Diterbitkan:  Dec 23, 2008 3:56 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berdolak-dalik untuk melaksanakan undang-undang hudud apabila ditekan DAP walaupun beriya-iya beri komitmen, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Dicabar ke kanan, digertak ke kiri. Inilah yang saya lihat tentang YB Datuk Husam.

"... belum pun sempat hilang panasnya bara ketetapan dan jawapan beliau untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia, (beliau) terus tersungkur dan menyerah kalah pada gesaan DAP," kata naib ketua Pemuda Umno.

"Akibat pukulan dan desakan DAP ini, Datuk Husam yang tampak berani dan bersemangat tinggi semasa majlis wacana di Balai Islam tiba-tiba pula menjadi ikon transformasi politik layu, dengan longlai dan lesunya tunduk kepada gertakan DAP."

Beliau mengulas pendirian terbaru ahli politik Kelantan itu selepas bertegas untuk melaksanakan hudud sewaktu berdebat dengannya dengan judul 'Wacana Transformasi Politik Malaysia' di Kota Bharu, Sabtu lepas.

Menulis dengan nada sinis dalam coretan 'Transformasi Politik Husam' di blognya hari ini, Khairy berkata pemimpin PAS itu beberapa kali menegaskan kesediaan parti itu untuk melaksanakan perundangan Islam jika berjaya menguasai Malaysia.

husam musa khairy jamaluddin pas umno "Beliau menjawab dengan jelas 'kita akan buat.'

"Saya selanjutnya meminta beliau jelaskan sekali lagi jawapannya dan beliau menegaskan sekali lagi bahawa 'kita akan buat' sambil mengangkat jari dan tangan menandakan kesungguhan jawapan beliau," coretnya lagi.

Semalam, Husam mengakui pelaksanaan hudud dan qisas yang menjadi asas perjuangan PAS selama ini terpaksa ditangguhkan kerana ia memerlukan persetujuan rasmi dua rakan Pakatan Rakyat, PKR dan DAP.

Beliau dilaporkan berkata tiga parti itu telah menandatangani perjanjian Ogos lalu bahawa sebarang perubahan dasar perlu dibuat dengan persetujuan ketiga-tiga parti tersebut.

"PAS tidak akan mengambil langkah unilateral. Semua perkara akan diambil secara multilateral," katanya seperti dilaporkan.

Terdahulu semalam, DAP membantah hasrat Husam.

"Hukum hudud bukan dasar Pakatan Rakyat dan tiba giliran Husam menjelaskan apa yang dimaksudkannya," kata tokoh popular parti Lim Kit Siang hari ini.

"Jika gagal dijelaskan, kenyataan Husam boleh menimbulkan rasa tidak senang, serba salah dan bantahan bukan sahaja di kalangan 11 peratus pengundi Cina di pilihanraya kecil Kuala Terengganu, tetapi juga kepada semua pengundi di seluruh Malaysia."

DAP, tambah Lim, kekal dengan pendiriannya untuk mempertahankan wajah sekular bangsa dan negara Malaysia seperti dipersetujui dalam kontrak sosial oleh pengasas kemerdekaan negara 51 tahun lalu.

Khairy, calon ketua Pemuda Umno, juga dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan hudud dalam perdebatan tersebut tetapi cepat-cepat menafikan pernah berkata demikian semalam.

"Kenyataan 'U-turn' Datuk Husam dalam tempoh yang amat pendek sekali memberikan kita satu lagi contoh di mana PAS terpaksa tunduk kepada desakan parti DAP," kata menantu perdana menteri itu.

"Di manakah prinsip PAS yang dikatakan oleh Datuk Husam semasa beliau bentangkan mukadimahnya di wacana tersebut yang mana antara 'P' penting yang disebut adalah prinsip?

"Takkan prinsip boleh dibuang begitu mudah sahaja?"

ADS