Majlis Aids Malaysia tidak menyokong dasar baru kerajaan yang mewajibkan bakal pengantin Islam menjalani ujian saringan HIV secara mandatori, berkuatkuasa Januari tahun depan.
Dasar baru itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ekoran kadar jangkitan HIV terhadap kaum wanita semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Presiden Majlis Aids, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, ia bukan satu penyelesaian terhadap peningkatan wabak HIV di kalangan wanita berdasarkan sebab-sebab perubatan dan sosial seperti di bawah.
Pertama, katanya, ujian saringan HIV untuk bakal pengantin ini hanya dilakukan sekali sahaja, namun risiko bagi jangkitan HIV adalah seumur hidup.
"Keputusan negatif tidak menjamin seseorang akan kekal negatif sekiranya tidak meninggalkan tabiat buruknya dengan melakukan aktiviti berisiko tinggi seperti aktiviti seks yang tidak selamat dan perkongsian jarum dalam penagihan dadah.
"Ini bermakna keputusan negatif ini tidak membawa sebarang jaminan keselamatan bebas HIV kepada pasangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Kedua, tambahnya, ujian HIV mandatori itu menampakkan kesan yang terhad dalam mengawal jangkitan HIV tanpa perantaraan yang khusus diambil untuk mencegah jangkitan ini.
"Contoh utama yang boleh kita ambil adalah ujian saringan HIV yang diwajibkan kepada penagih dadah yang ditempatkan di pusat serenti dan penjara, di mana polisi ini telahpun dikuatkuasakan pada pertengahan 1990-an.
Khidmat kaunseling
"Walaupun kos perlaksanaan polisi ini telah berhabisan berjuta-juta ringgit, namun kadar peningkatan jangkitan HIV bagi penagih dadah kian meningkat setiap tahun," katanya.
Dr Adeeba berkata, tanpa khidmat kaunseling dan peralatan yang lebih efektif untuk mengubah tabiat berisiko ini, termasuk penggantian opiat terapi dan pengunaan jarum serta picagari yang bersih, penagih dadah dan pasangannya masih berisiko tinggi dijangkiti HIV walaupun beberapa kali menjalani ujian saringan HIV.
Ketiga, katanya, adalah amat mustahil sekali segala keputusan ujian dijamin sulit dan dirahsiakan.
"Oleh kerana tahap stigma dan diskriminasi yang tinggi dan sedia ada pada masyarakat kita terhadap HIV, ujian mandatori ini akan membuat pengidap HIV serta ahli keluarganya tersisih dan dibuang dari sesebuah komuniti dan ini akan mengakibatkan kehidupan mereka menderita dan sengsara," tambahnya.
Keempat, menurut Dr Adeeba, seseorang individu mengenai keputusan HIV positif mestilah diiringi maklumat yang mencukupi dan tepat termasuk potensi jangkitan selanjutnya serta pendekatan faedah-faedah perubatan.
"Adalah amat mustahil sekali pihak bertanggungjawab melaksanakan polisi ini termasuk pegawai agama malah pekerja kesihatan telah terlatih dan bersedia sepenuhnya dengan tugas ini.
"Dari sudut perspektif kesihatan awam dan ekonomi, polisi ini akan mempunyai kesan terhad dan nilai dalam masyarakat kita di mana kadar jangkitan HIV pada keseluruhannya di kalangan penduduk awam adalah rendah.
"Kita akan melakukan ujian saringan ke atas beribu-ribu orang di mana mereka ini tergolong dalam golongan berisiko rendah dan ini berkemungkinan kita dapat mengesan sebilangan kes sahaja.
Pekerja seks
"Pada pendapat kami terdapat banyak lagi program-program lain yang terbukti keberkesanannya dalam mencegah epidemik HIV terutama yang di kalangan berisiko tinggi," katanya.
Dr Adeeba berkata, ini termasuk peruntukan maklumat HIV yang tepat, pendidikan dan promosi kondom untuk pekerja seks serta pelanggan mereka dan golongan homoseksual, dengan memberi keutamaan lebih tinggi dalam soal peruntukan sumber dan perlaksanaannya.
"Mengawal jangkitan HIV di kalangan kumpulan ini akan seterusnya mengurangkan kadar jangkitan di dalam komuniti masyarakat am memandangkan golongan yang terpinggir ini tidak hidup dalam isolasi.
"Tambahan pula jika dikaji dengan lebih mendalam demografiknya, bagi wanita Malaysia yang dijangkiti HIV, majoritinya dijangkiti melalui suami atau pasangannya yang merupakan seorang penagih dadah.
"Oleh itu, katanya, antara langkah terbaik yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar jangkitan di kalangan wanita adalah melalui mengawal jangkitan HIV khususnya di kalangan lelaki yang terlibat di dalam penagihan dadah.
"Apa yang diperlukan segera adalah liputan luas mengenai program-program yang telah terlaksana kini seperti penjagaan terapi metadon dan program pertukaran jarum," katanya.
Menurutnya lagi, dengan memberi kuasa kepada wanita dalam komuniti masyarakat dan menyediakan ilmu pengetahuan yang lengkap mengenai bagaimana jangkitan HIV boleh dan tidak boleh berlaku, adalah sesuatu yang jauh lebih berkesan dan efektif dalam melindungi kaum wanita ini.
"Satu kajian yang telah dibuat ke atas wanita HIV positif di Kota Bharu, walaupun mengetahui suaminya merupakan seorang penagih dadah mahupun HIV positif, wanita tersebut tidak dapat berbincang dengan suaminya untuk melakukan hubungan seks secara selamat dengan menggunakan kondom.
Ujian sukarela
"Jelas sekali bagi wanita-wanita ini, ujian saringan HIV bakal pengantin tidak memberikan sebarang jaminan dan melindungi mereka dari dijangkiti," tambahnya.
Sebaliknya, katanya, majlis tersebut menggalakkan dan membantu idea kepada bakal pengantin - tidak kira agama dan bangsa, malah lelaki dan perempuan dewasa - untuk menjalani ujian HIV secara sukarela dan mengetahui status HIV mereka.
"Ujian secara sukarela ini lebih berkemungkinan dapat mengubah tingkah laku dan tabiat seseorang itu untuk mengelak dan mengawal jangkitan HIV kepada individu lain.
"Pendidikan awam, kaunseling secara individu dan ujian budi bicara menjadi cara pencegahan penting dalam mengurangkan kadar jangkitan HIV, tetapi ujian mandatori HIV bakal pengantin ini adalah sesuatu yang tidak efektif dan merugikan, memandangkan populasi mereka kebanyakannya tergolongan dalam golongan yang berisiko rendah.
"Akhir sekali, prinsip dan syarat-syarat bagi seseorang itu menjalani ujian HIV mestilah dilakukan berasas kepada amalan kesihatan awam yang kukuh dan juga kehormatan, perlindungan serta memenuhi piawaian hak asasi manusia," katanya.
Menurut Dr Adeeba, panduan antarabangsa mengenai HIV/AIDS dan hak asasi manusia, menyatakan “jelas di sini hak seseorang individu yang hidup dengan HIV akan teraniaya dengan adanya ujian mandatori bakal pengantin ini dan/atau syarat ‘sijil bebas –AIDS” sebagai syarat asas untuk mendapat lesen perkahwinan mengikut undang-undang negeri.
"Ini membabitkan hak untuk berkahwin (Pengumuman Sedunia Hak Asasi Manusia, Artikel 16, Perjanjian Rasmi Antarabangsa Hak-hak Awam Dan Politikal, Artikel 23(2), Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, Artikel 16(1)(a).
