BERITA

Hasan Ali sedia temui ahli Qadiani

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Dis 2008, 9:35 pagi

Exco agama kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali sedia bertemu kumpulan Qadiani berhubung isu rampasan tanah yang dijadikan tempat ibadatnya di Kampung Nakhoda, Selayang.

"Mereka boleh jumpa saya bila-bila masa, tiada masalah," katanya, selepas majlis mengumumkan kemasukan bekas ketua Umno bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk Zahar Hashim dalam PAS di sebuah hotel di Ampang hari ini.

hasan ali selangor and the qadani qadiani ahmadiyya faith 231208 Dr Hasan diminta mengulas kesediaan kumpulan Qadiani, juga dikenali gerakan Ahmadiyah, bertemu exco agama itu bagi membincangkan kedudukan bangunan tersebut.

Kelmarin, kerajaan negeri merancang merampas tanah kerana kawasan yang diperuntukkan untuk kediaman dijadikan tempat beribadat.

Jurucakap gerakan itu Ainul Yakin Mohd Zain memberitahu Malaysiakini semalam menyatakan kesediaan pertubuhannya Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia untuk berbincang dengan Dr Hasan dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Tapak itu dikenali Darul Salam yang dijadikan masjid dan pusat aktiviti kumpulan tersebut.

Dalam sidang media itu, Dr Hasan menjelaskan kerajaan Selangor boleh mengenakan tindakan terhadap pengikut Qadiani di kampung itu dengan beberapa cara.

"Kerajaan mengambil tindakan mengikut peraturan. Kalau perlu melalui Kanun Tanah Negara, kita ambil ikut akta itu. Kalau perlu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), kita ikut PBT.

"Kita dah beri banyak peluang dan sudah memberi berpuluh-puluh kali nasihat. Kalau tidak cegah, ajaran itu akan menjalar dalam masyarakat," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.