mk-logo
Berita
Tunku Muhriz dimasyhur Yang Dipertuan Besar yang baru
Diterbitkan:  Dec 29, 2008 2:53 AM
Dikemaskini: Dec 30, 2008 2:56 AM

Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11.

tunku mukhriz tuanku munawir Pemasyhuran tersebut berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti pada kira-kira jam 3.50 petang ini.

Pemasyhuran itu dibuat oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, dan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Tunku Muhriz, 59, dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, berikutan kemangkatan Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman Sabtu lalu.

Tunku Muhriz dipilih daripada empat orang calon. Tiga lagi ialah Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Tuanku Ja'afar and Tunku Panglima Besar Tunku Putera Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.

Baginda merupakan satu-satunya putera kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (1960-1967).

Tunku Muhriz merupakan calon Yang Dipertuan Besar bagi menggantikan ayahandanya , selain Almarhum Tuanku Ja’afar dan Tuanku Abdullah, namun baginda tidak dipilih atas alasan usia yang terlalu muda ketika itu iaitu 18 tahun.

Pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.

Pemilihan itu adalah mengikut garis panduan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Sementara itu, istiadat pemakaman jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman akan dijalankan selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah King George V, Seremban dan meneruskan pengajiannya di Aldenhem School, United Kingdom.

Tuanku Muhriz memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom.

Tuanku Muhriz merupakan putera tunggal daripada enam putera serta puteri Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Durah Binti Tuanku Besar Burhanuddin.

Tuanku Muhriz mendirikan rumahtangga dengan Tengku Datuk Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dari Terengganu dan mempunyai tiga putera iaitu Tunku Ali Redhauddin Muhriz, 31, Tunku Zain Al-‘Abidin Muhriz, 26, dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 23.

Pada 1967, Tuanku Ja'afar yang juga ayahanda saudara tiri Tuanku Muhriz, dilantik oleh Undang sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, memandangkan usia Tuanku Muhriz yang masih muda pada ketika itu, selepas kemangkatan ayahanda baginda, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman.

Tuanku Muhriz adalah seorang ahli perniagaan dan pengarah Bangkok Bank.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS