Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemilihan Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan memberi laluan yang lebih mudah kepada BN, kata beberapa pemimpin Umno bahagian.

Menurut mereka, ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam itu tidak dikenali secara meluas di kawasan parlimen tersebut.

Bekas calon BN yang tewas di tangan Abdul Wahid dalam pilihanraya umum lalu, Othman Awang berkata, wakil rakyat PAS itu dikenali di kalangan pengundi di DUN berkenaan sahaja.

Sebaliknya, tambah beliau, orang di DUN Batu Burok dan Ladang tidak mengenali beliau.

"Ini memberi harapan yang cerah kepada Datuk Wan Ahmad Farid (Wan Salleh)... kita dah boleh duduk sedap," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pemilihan Abdul Wahid yang juga bendahari PAS negeri diumumkan oleh presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di stadium negeri malam tadi.

Salah seorang pemimpin Umno yang pernah disebut-sebut bertanding di kerusi parlimen itu Mohd Zuber Embong pula berkata, Wan Ahmad Farid boleh mengalahkan Abdul Wahid.

"Orang akan nilai apa yang Abdul Wahid buat selama 23 tahun menjadi Adun Wakaf Mempelam kerana tidak ada apa-apa yang beliau lakukan.

“Jika Abdul Wahid menang, rakyat Kuala Terengganu akan sengsara. Kecemerlangan pendidikan yang dimulakan oleh (penyandang kerusi itu) Datuk Razali Ismail akan lenyap,” katanya.

Mohd Zuber - kini ketua sektor akademik di Jabatan Pelajaran Terengganu - berkata, kira-kira 5,000 golongan pendidik akan bersama Wan Ahmad Farid.

Pilihanraya kecil itu yang diadakan antara 6 hingga 17 Januari diadakan berikutan kematian Razali secara mengejut, November lalu.

ADS